Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
JERAI: Pemuda adalah pemimpin di masa hadapan yang akan menerus dan melangsungkan perjuangan. Di mana dalam konteks ketika ini, Pemuda PAS merupakan pewaris saf kepimpinan PAS di masa hadapan dan juga kerajaan yang memerintah.
Oleh itu, Pemuda PAS tidak perlu tergopoh gapah kerana akhirnya akan tetap berada di kedudukan tersebut, demikian pandangan Ketua Penerangan Ulama PAS Kedah, Ustaz Md Lotfi Ariffin.
Ujarnya, sebagai pemimpin PAS, tanggung jawab yang terpikul adalah untuk menjaga agama.
“Kepimpinan dilantik untuk menggantikan tempat Nabi. Bukan ganti Umno semata-mata tetapi lebih besar lagi iaitulah menggantikan tempat Nabi. Di mana kepimpinan ini ialah menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama,” terangnya pada Tamrin Pemuda PAS Kedah di Padang Lumat, di sini baru-baru ini.
Beliau menasihatkan para Pemuda PAS agar menjaga beberapa perkara antaranya jangan bercakap perkara yang tidak dilakukan, tidak menyuruh orang lakukan kebaikan sedangkan diri tidak melaksanakannya serta tidak menyalahi orang lain tetapi diri melakukan kesalahan.
Menurut Ustaz Lotfi lagi, sebagai pewaris perjuangan, Pemuda PAS dinasihatkan agar jangan mencemarkan jamaah dan parti Islam ini.
“Jangan orang terpaksa bersabar dengan sikap kita. Biar kita sabar dengan sifat buruk orang lain. Jangan datangkan masalah, tetapi biar Pemuda menjadi penyelesai masalah.
“Jangan disebabkan sikap kita, perjalanan parti terpaksa ditentukan dengan memilih mudarat paling ringan. Sepatutnya kena semua bersama-sama mara,” ujarnya memberikan beberapa contoh sebagai huraian termasuk kisah Nabi Khidhir dengan Nabi Musa dalam menghadapi keingkaran Bani Israil.
Pemuda juga nasihatnya, perlu sentiasa berhati-hati dengan hasutan iblis yang sentiasa mengajak untuk bersamanya. Sebaliknya ujar beliau, Pemuda PAS mesti berusaha agar Allah sentiasa bersama dengan perjuangan ini.
Menghadapi segala keperluan dan cabaran dalam perjuangan ini, Pemuda PAS katanya, perlu mempelajari agama hingga dilihat sebagai agamawan selain memperbanyakkan qiyamullail, istighfar dan taubat kepada Allah.
No comments:
Post a Comment