Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri menafikan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) berdepan dengan krisis kewangan yang serius seperti didakwa Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, isu kenaikan yuran hanya melibatkan pengambilan pelajar baru dan pelajar lama tidak akan terjejas sehingga mereka menamatkan pengajian kelak.

Menurutnya, Kuin adalah universiti yang mengenakan yuran paling rendah kepada pelajar, malah pernah ditegur Kementerian Pelajaran kerana keadaan ini dikhuatiri akan menjejaskan pentadbiran universiti.

"Malah, apabila saya menjadi Menteri Besar, ada cadangan menaikkan yuran namun atas pertimbangan, saya minta tiada kenaikan memandangkan kemudahan belum mencukupi.

"Kini kemudahan sudah hampir siap di kampus baru (Kuala Ketil) dan kenaikan yuran akan bermula Julai ini untuk pengambilan baru," katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan pagi warga Wisma Darulaman semalam.

Azizan berkata, kenaikan yuran itu turut mengambil kira faktor penggunaan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kalangan pelajar untuk membiayai pengajian.

"Ini bukan kira sokong PTPTN (dihapuskan) atau tidak, pelajar mendapat RM8,000 setiap semester namun yuran hanya sekitar RM1,000 untuk satu semester dan (selebihnya) duit poket pelajar sebanyak RM7,000.

"Ada penuntut mampu memberi wang (yang dikumpul daripada pinjaman PTPTN) kepada ayahnya untuk membeli tanah seluas lapan ekar, sedangkan pinjaman itu patut digunakan untuk pengajian, tetapi kita tidak ganggu (naikkan yuran) kerana terikat dengan kontrak lama," katanya.

Sementara itu, Azizan berkata, Kementerian Pelajaran dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) membenarkan pengambilan 100 pelajar untuk jurusan perubatan di Kuin namun disebabkan masih baru, tiada pengalaman dan menjamin kualiti pelajar, hanya 50 pelajar diambil.

"Memang saya umumkan bahawa mendapat 300 permohonan, tetapi kita perlu tapis dan daripada jumlah itu hanya 50 akan diambil untuk pengambilan pertama, dan mereka perlulah memenuhi syarat ditetapkan.

"Akhirnya 12 orang ditawarkan, sembilan sudah mendaftar dan lagi tiga akan daftar kemudian, malah saya turut dimaklumkan bahawa 19 pelajar lagi akan diambil dan dijangka mendaftar pada 20 Mei ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizan berkata, isu pelarasan gaji 13 peratus dalam kalangan penjawat awam hanya melibatkan Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan dan Kuin sebagai sebuah institusi swasta tidak terlibat.

"Walaupun Kerajaan Negeri membantu Kuin namun ia tetap institut pengajian tinggi swasta (IPTS), terserah kepada lembaga pengarah untuk melaksanakan atau tidak, bergantung kepada keupayaan, Mahdzir dulu pengerusi, takkan tidak tahu bahawa Kuin adalah IPTS.

"Begitu juga dengan umur persaraan 60 tahun, kita tidak ambil, malah di Syarikat Air Darul Aman (Sada) sebagai contoh, tidak melaksanakannya kerana ia bukan badan berkanun, itu hak pengurusan," katanya.

Menurutnya, dakwaan mengenai kegagalan menjelaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta beberapa bayaran lain adalah tidak relevan.

"Bayaran Perkeso, bukan hari ini minta, hari ini bayar, sampai masa kita bayar, KWSP kita buat potongan (gaji), bukan macam beli petai tepi jalan, isu lambat bayar ini bukan baru, malah masa saya ambil alih, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berhutang ratusan ribu ringgit kepada KWSP.

"Sebahagian daripada ahli pembaga pengarah bakal disabitkan di mahkamah, masa itu pengerusi Mahdzir. Kerajaan Negeri terpaksa tolong selesaikan bayaran jika, tidak lembaga pengarah akan didakwa, isu Kuin belum sampai saman di mahkamah," katanya.