Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Isu Sekolah Agama Rakyat (SAR) adalah perkara yang tidak dapat dipisahkan apabila membicarakan mengenai pendidikan orang Melayu, demikian ditegaskan Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.
Menurutnya, SAR dibangunkan atas usaha, kesungguhan dan kemahuan yang kuat serta pengorbanan daripada kalangan ibu bapa dan guru serta masyarakat dalam hasrat membentuk anak-anak menjadi seorang insan.
Maka SAR jelas beliau, adalah merupakan salah satu institusi orang Melayu di bidang pendidikan.
Malangnya ujar beliau, pihak pemerintah pada 13 tahun yang lalu telah melontarkan tuduhan mengatakan SAR sebagai pusat melahirkan penjenayah militan dan sehingga kini SAR belum mendapat pembelaan sewajarnya.
Beliau menegaskan perkara itu pada debat pendidikan “Sembang Orang Muda” anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah bersama panelis terdiri daripada Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrol Hisham Hashim dan Pengerusi GPMS Kedah, Shamsul Bahar Abdul Rani di Dewan Sultan Abdul halim Mu‘adzam Shah, di sini baru-baru ini.
Ustaz Ahmad turut melahirkan rasa kesal kerana terdapat banyak pihak yang menjadikan pendidikan hari ini sebagai peluang perniagaan.
“Sedangkan pendidikan harus dinikmati sebagai hak untuk diperolehi seluruh lapisan masyarakat. Tetapi untuk mendapatkan pendidikan terbaik, hari ini ibu bapa terpaksa berbelanja besar hingga terpaksa juga berhutang,” hujahnya.
Beliau tetap bertegas menyatakan bahawa pendidikan adalah tanggung jawab besar pemerintah di mana Islam sama sekali tidak dapat dipisahkan dengan ilmu dan pendidikan yang memiliki matlamat untuk menginsankan manusia.
Sementara itu, Badrol dalam penghujahannya mempertahankan bahawa Kerajaan Barisan Nasional sedia membantu SAR dengan syarat perlu berdaftar dengan pihak yang telah ditetapkan. Malah katanya, kerajaan selama ini telah berjaya menyediakan pendidikan yang holistik untuk anak bangsa.
Shamsul pula banyak menyentuh mengenai permasalahan semasa pelajar melalui kajian dilakukan GPMS yang mana dakwanya tidak wujud pada 30 tahun lalu. Beliau turut mengajak orang Melayu memandang serius pendidikan anak-anak sebagai perbincangan soal masa depan di mana dilihat semakin ketinggalan berbanding bangsa lain ketika ini.
No comments:
Post a Comment