Tuesday, November 1, 2011

Anak muda perlu kuasai pelbagai ilmu

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Anak muda perlu menguasai ilmu yang pelbagai bagi membentuk kebijakan mereka bertindak dalam menghadapi sepak terajang politik berdepan dengan Umno-BN di negara ini.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar berkata demikian ketika berucap dalam ‘Ceramah Pentas Pemuda’ sempena Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, dekat sini 28 Oktober lalu.

Menurutnya, asas kepada perjuangan dibawa PAS ialah soal akidah, tetapi anak-anak muda juga perlu memikirkan kaedah mereka boleh bertindak dengan bijak dalam menghadapi sesuatu situasi.

Katanya, kebijakan itu tentunya bermula dengan ketumbukan ilmu yang perlu ada dan dimiliki oleh anak muda, kerana keluasan ilmu ini akan membentuk kebijakan bertindak.

“Perkembangan teknologi yang ada hari ini, sudah tentu memerlukan anak-anak muda melakukan penjelajahan ilmu untuk memastikan kebijakan itu benar-benar dikuasai oleh semua,” ujarnya.

Mahfuz berkata, ia merupakan perkara penting untuk dilihat, sebagaimana disebut oleh para ulama bahawa orang berilmu adalah mereka yang menyelesaikan permasalahan dalam kehidupan masyarakat.

Beliau menceritakan peristiwa Jalut dan Talut serta pilihan Allah mengambil Jalut sebagai pemimpin kerana keluasan ilmu dimiliki serta digandingkan dengan kegagahan fizikal yang ada padanya.

Di atas keluasan ilmu dan kebijakan bertindak inilah tegas beliau, PAS mampu membuat bacaan-bacaan atau
mengandaikan perkara yang akan berlaku pada lima atau sepuluh tahun akan datang.

“Ini akan membolehkan kita melakukan setiap persiapan mantap dan jitu untuk menghadapi sepak terajang
politik yang lebih mencabar,” tegasnya.

Pemimpin juga katanya memerlukan pembantu berilmu dan bijak bagi memberi nasihat yang baik untuk membuat keputusan lebih tepat.

No comments:

Post a Comment