Tuesday, November 1, 2011

PAS terus 'hidup' dengan perjuangan Islam

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Allah tidak menyuruh orang susah sahaja berjuang dan orang yang senang boleh duduk di rumah memeluk isteri. Malah Allah juga tidak pernah meminta orang kaya sahaja berjuang dan orang miskin boleh ambil cuti kerana miskin, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

“Sebaliknya semua orang kena berjuang. Orang kaya berjuang dengan cara orang kaya, dan orang miskin akan berjuang dengan cara orang miskin. Begitu juga orang yang cacat dan sakit akan berjuang mengikut cara mereka masing-masing,” tegas beliau sewaktu merasmikan Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2011 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Taman Melewar pada 28 Oktober lalu.

Perjuangan dalam Islam katanya, tidak mengira sama ada orang itu kaya atau miskin, sebaliknya semua orang Islam wajib berjuang menegakkan agama Allah pada sebarang situasi.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian melahirkan rasa syukur kerana PAS mempunyai pemimpin yang begitu istiqamah dalam perjuangan.

Katanya, PAS tidak akan mati kerana ia didukung oleh pemimpin yang tidak pernah dibisikkan ke telinga mereka dengan janji emas dan perak.

Pemimpin yang lahir di dalam PAS tegasnya, tidak pernah berundur daripada perjuangan dalam sebarang keadaan menimpa mereka.

Ini tegasnya, kerana PAS mempunyai pemimpin hebat dan berpengalaman serta ditarbiyah oleh kitab tulisan ulama muktabar, guru dan mereka yang hidup untuk perjuangan Islam.

Sebab itulah jelas Salahuddin, PAS berbeza dengan parti lain di negara ini sehingga ada pejuang PAS mati dengan sikap dan pendirian tegas serta tidak mudah digoda dan digamit dengan perhiasan dunia.

Beliau mengajak lebih 5,000 anak-anak muda yang menyertai ijtima itu, mengkaji serta belajar sejarah supaya kemudahan pada hari ini tidak menjadi alasan untuk menangguhkan perjuangan.

Katanya, pemimpin terdahulu dan yang ada sekarang sentiasa berhadapan dengan kesukaran dalam perjuangan.

Salahuddin yang pernah memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat, kagum dengan kepimpinan pemuda hari ini kerana merangka pelbagai alternatif bagi menyampaikan dakwah dan berhibur dengan cara Islam.

Katanya, kejayaan Pemuda PAS Pusat mengeluarkan filem pendek bertajuk “Gua Ikut Anta” menunjukkan mereka memberi tempat kepada golongan seni bagi mengembangkan karya mereka.

Beliau juga mahu pemuda terus menggunakan teknologi yang ada seperti Facebook, Twitter, sms, mms dan blog bagi menyebarluaskan Islam di negara ini dan seluruh dunia.

“Apa yang penting, maklumat mesti sampai kepada golongan sasar supaya Islam dapat ditegakkan,” katanya dalam ucapan.

No comments:

Post a Comment