Tuesday, November 1, 2011

Pemuda sebagai aset tetap dan modal pusingan PAS

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Para pemuda merupakan aset tetap dan modal pusingan kepada perjuangan PAS, demikian tegas Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi pada Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini 28 Oktober lalu.

Sehubungan itu, para pemuda ujarnya, perlu bijak memasarkan PAS agar menjadi keperluan kepada masyarakat.

Untuk itu, para pemuda perlu memiliki ilmu dan keperibadian untuk menguruskan perjuangan menyampai dan menegakkan Islam di atas muka bumi dan sentiasa bersikap mengutamakan urusan agama serta merasa amanah terhadapnya.

Jelas beliau, ilmu dan keperibadian akan tercerna menjadi sikap masyarakat, maka pemuda perlu memiliki ilmu dan akhlak soleh untuk di bawa dalam masyarakat.

Perkara tersebut tegasnya, adalah dengan melalui proses pentarbiyyah dan pengkaderan seterusnya akan memperkayakan prestasi dan parti.

Ujar Ustaz Nasrudin, PAS mendokong gerakerja dakwah melalui wadah politik dan setiap pemuda mesti memahami hubungan antaranya.

Tetapi yang sering berlaku ujarnya, orang politik hanya berfikir mengenai pilihan raya dan untuk memenanginya. Manakala orang tarbiyah pula katanya, hanya fikir mengenai program tarbiyah, usrah dan tamrin. Sedang orang dakwah pula hanya untuk menyampaikan pengisian.

“Adapun kita pemuda-pemuda PAS, kita bukan orang politik, kita bukan orang tarbiyah dan kita bukan orang dakwah sahaja. Tetapi kita adalah pemuda yang melengkapi segala-galanya. Melahirkan saf perjuangan yang seimbang dalam menegakkan cita-cita Islam di atas tanah air kita cintai ini.

“Kesimpulannya kita adalah pemuda-pemuda yang memenuhi muwasafat ansarullah dan rabbani yakni bekerja, berjuang dan mati untuk agama Allah serta memenuhi kesyumulan Islam. Menjadi pendita yang tekun bertaqarrub kepada Allah di malam harinya dan seperti kuda-kuda pantas di siang hari.

“Bukanlah mereka yang membawa perjuangan ini secara sampingan atau secara cebisan atau membawa sebahagian dengan meninggalkan sebahagian yang lain,” ujar beliau dalam taujihatnya itu.

No comments:

Post a Comment