Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
LANGKAWI: Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yakin bahawa zakat, wakaf dan sedekah mampu menjadi strategi alternatif dalam membenteras kemiskinan global yang tidak dapat diselesaikan pada hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Kewangan dan Ekonomi Islam Antarabangsa Langkawi Kali Ketiga (Life3) di Berjaya Resort, di sini bulan lalu.
“Wakaf, zakat dan sedekah ini telah diperkenalkan oleh Islam dan dipraktikkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW merupakan dana pembiayaan bersifat dermawan.
“Ia berbeza dengan pembiayaan kebaratan yang membangunkan manusia hanya dari satu sisi, sedang pembiayaan Islam itu menggabungkan soal rohani dan unsur lain dalam pembangunan ekonomi komuniti,” terangnya.
Untuk menggerakkan cita-cita itu katanya, perlu pendekatan bersepadu melibatkan institusi kewangan Islam, pihak pengurusan dan jaringan pertubuhan mereka yang berkembang baik dan tersusun untuk memainkan peranan utama bersama institusi-institusi zakat, wakaf dan sedekah.
Menurut Ustaz Azizan, antara tahun 1555 hingga 1823, terdapat 761 institusi wakaf di Bursa, Turki dan di era 1900, tradisi itu kembali segar di Turki hingga menjadi penggerak utama mewujudkan banyak universiti terkemuka dunia, maktab dan sekolah.
Malah katanya, melahirkan ramai profesional pelbagai bidang sekaligus membantu perkembangan ekonomi komuniti.
Jelasnya, para profesional dan usahawan berjaya inilah yang meneruskan usaha sehingga ke hari ini memberikan sumbangan wakaf termasuk mewujudkan lebih banyak institusi pendidikan di seluruh dunia.
Perkara itu juga ujarnya sebagaimana Universiti Al-Azhar yang berjaya dikendalikan sejak 1000 tahun dengan wakaf.
“Melalui jaringan cawangan atau pertubuhan kewangan ini, inisiatif perlu disediakan untuk membolehkan pelanggan meletakkan deposit mereka sebagai sumbangan tunai wakaf. Ia juga mungkin menjadi penyelesaian perancangan harta Islam untuk para pelanggan bank, termasuk wasiat, hibah dan amanah.
“Dengan wakaf, bank-bank dan pelanggan mereka mempunyai peluang menyertai program pengedaran komuniti yang lebih berstruktur atau aktiviti ekonomi komuniti sebagai sebahagian daripada strategi pengagihan kekayaan,” ujarnya melontarkan idea untuk persidangan tahunan tersebut.
Hadir sama menyampaikan pembentangan pada persidangan itu ialah Presiden Bank Pembangunan Islam (IDB) Jeddah, Tan Sri Dr Ahmad Mohamed Ali al-Madani dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.
No comments:
Post a Comment