MOHD SHAFRI SHAMSUDIN
KUALA LUMPUR: Pembebasan Putrajaya dari cengkaman regim Umno-BN bakal direalisasikan melalui kesepaduan Pemuda PAS sebagai penjana penting kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Kesediaan itu dibuktikan dengan penyertaan sekitar 5,000 pemuda PAS dari seluruh negara pada Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan yang bertemakan “Perkasa Amal Tarbawi Menangi Pilihan Raya” di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini 28 hingga 30 Oktober lalu.
Suntikan keazaman para pemuda itu turut disemarakkan dengan taujihat dari pimpinan Hamas Palestin, Syeikh Ahmad Najjar yang mengisahkan pengalaman dan tribulasi perjuangan Palestin serta usaha pembebasan Masjidil Aqsa.
Malah, mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr Mohd Mehdi Akif dan pimpinan Ikhwanul Muslimin, Dr Kamal al-Helbawy juga hadir berkongsi cabaran perjuangan serta menyegarkan optimisma golongan muda terhadap kemenangan sebagaimana berlaku di Timur Tengah ketika ini.
Sepanjang tiga hari tersebut, para peserta juga mengikuti sesi rohani yang disampaikan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat; Ketua Penerangan PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad
Selain itu, peserta turut mengikuti huraian tafsir surah As-Saff oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara talaqi.
Pembentangan kertas kerja pula melibatkan perbincangan berhubung Tahaluf Siyasi yang disampaikan oleh Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Dr Khairudin Aman Razali at-Takiri.
Manakala kuliah khas bertajuk “PAS dan Ijtihad Politik” disampaikan Pegawai Arkib PAS Pusat, Mohd Fadli Ghani.
Ceramah pentas pemuda pula dipanaskan dengan penampilan Naib Presiden, Dato’ Mahfuz Omar dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof.
Selain itu, slot Forum Tarbawi membawakan dua mantan Ketua Pemuda PAS Pusat iaitu Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik membicarakan tajuk “Masa Depan Perjuangan PAS Dalam Lanskap Politik Semasa.”
Antara yang menarik perhatian peserta adalah sesi Wacana Khas membicarakan tajuk “Pemuda PAS Memimpin Kebangkitan Anak Muda” oleh para pimpinan tertinggi Pemuda PAS Malaysia iaitu Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi, Ustaz Nik Mohd Abduh dan Mohd Sany Hamzan serta tayangan filem pendek berjudul “Gua Ikut Enta” terbitan Dewan Pemuda PAS Production dan filem pendek kreativiti sendiri berjudul “Janji”.
Kebanyakan peserta ‘berkampung’ di sekitar Taman Melewar selain turut memenuhi khemah tertutup khas yang disediakan urusetia. Manakala peserta muslimat menginap di dalam dewan utama.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, para pemuda dibentuk untuk menjadi ansarullah (penolong agama Allah) yakni menjadi golongan yang menggerakkan peranan penting kepada cita-cita kemenangan Islam sebagaimana hawariyyun.
Untuk itu tegasnya, proses amal tarbawi amat penting untuk diperkasakan pada setiap diri dan gerakan pemuda agar matlamat tersebut mampu dicapai.
Ini jelasnya, akan melahirkan individu-individu baik yang akan mengintimakkan diri kepada jamaah. Sedang jamaah yang baik itu katanya, adalah syarat Allah memberikan kemenangan sebagaimana pasukan tentera Salahuddin Ayyub dan tentera Sultan Muhammad al-Fateh.
No comments:
Post a Comment