Tuesday, November 1, 2011

Pemuda PAS jangan 'kurung' isteri di rumah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS diminta jangan ‘mengurung’ isteri mereka di dalam rumah tanpa memberi ruang dan peluang untuk bersama-sama menyumbang kepada parti dan Islam, tegas Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof.

Menurutnya, terdapat keluhan daripada isteri pemuda PAS bahawa mahu memberi sumbangan tetapi tidak diberi ruang dan peluang oleh suami, sedangkan suami mereka adalah pemuda yang berketerampilan di dalam parti.

Katanya kepada lebih 5,000 peserta Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan yang bertemakan “Perkasa Amal Tarbawi Menangi Pilihan Raya” di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuizm), Taman Melewar, dekat sini 28 hingga 30 Oktober lalu, sumbangan muslimat amat penting kerana mereka juga mempunyai ilmu dan pengalaman untuk dikongsi bersama di kalangan muslimat.

“Saya menyarankan, terutama pemuda PAS libatkan sama isteri, beri peluang, ruang dan kerjasama kerana kita tidak mahu isteri ini mengadu kami nak bersama, kami nak aktif tetapi tidak diberi kerjasama oleh suami.

“Ini harapan Dewan Muslimat PAS kerana kepada siapa lagi kami harapkan. Di belakang Rasulullah s.a.w. yang membela perjuangan Islam ini ialah isteri-isterinya dan para sahabat.

“Mereka juga ada yang bersama di medan perang membantu perjuangan Rasulullah s.a.w.,” katanya.

Justeru itu, tegas Siti Zailah, jika mahu melihat Islam menang, libatkanlah keluarga, isteri dan anak-anak untuk bersama mengharungi perjuangan demi mencapai kemenangan cemerlang.

“Kita tidak mahu sebelum ini muslimat aktif berjuang tetapi apabila sudah berkahwin dan dapat anak, mereka terus hilang daripada perjuangan,” katanya lagi.

Sebab itulah kata Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, beliau mahukan pembabitan muslimat diberi dorongan dan insya-Allah jika diberi kerjasama satu gelombang lebih kuat bagi berdepan dengan Umno dapat diwujudkan.

Bagi anak muda yang baru menghadapi perjuangan ini katanya, hendaklah sentiasa melalui tahap-tahap sebagaimana garis telah ditetapkan.

Katanya, mintalah bantuan daripada abang atau kakak-kakak yang boleh memberi bimbingan dan tunjuk ajar, kerana perjuangan di kampus hanya lima peratus sahaja daripada pengalaman dan perjuangan sebenar di medan.

“Kita tidak boleh lagi tertumpu kepada program di markas, masjid dan surau semata-mata. Saya setuju supaya pemuda dan muslimat turun ke medan, jejaki orang muda sehingga ke kelab-kelab malam, pasar-pasar raya untuk mendekati mereka dan tarik mereka untuk bersama PAS,” tegasnya.

Beliau berkata, PAS bukan hanya mahu mendapat sokongan daripada orang berkopiah sahaja tetapi juga mereka yang berambut merah, berpakaian jeans, ranggi dengan tujuan memberi kesedaran kepada mereka dan dakwah kepada Islam.

Ini katanya, cabaran yang cukup besar untuk melihat kemenangan Islam kerana ia perlu menyentuh semua golongan dan menjadi tanggung jawab terutama kepada orang muda hari ini mesti turun ke medan.


No comments:

Post a Comment