Sunday, October 30, 2011

Umno tidak faham mengenai Negara Berkebajikan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyanggah pandangan Umno bahawa Negara Berkebajikan yang diutarakan PAS sama sepertimana difahami Umno dan Barat.

Negara Berkebajikan PAS tegasnya, bukan sepertimana negara kebajikan yang dipentingkan pada mereka adalah berkaitan pemberian semata-mata.

Jelasnya, negara kebajikan difahami Umno seperti perumpamaan memberi ikan pada seseorang dan bukannya memberikan joran pancing.

Perkara itu dinyatakannya pada sidang media selepas pembentangan kertas kerja pada Konvensyen Menuju Negara Berkebajikan sempena Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 22 Oktober lalu.

Berbeza dengan Negara Berkebajikan yang didasari konsep keadilan, keihsanan dan amanah.

“Kekuatan Negara Berkebajikan, ia mempunyai kaitan soal kepimpinan di dunia dengan akhirat iaitu selepas kematian (melibatkan) soal dosa, pahala, syurga dan neraka,” katanya.

Ujar Idris, ianya bukanlah perubahan dasar atau prinsip perjuangan PAS tetapi adalah rutin tema yang menjadi tawaran dalam tindakan dan manifesto PAS.

Terang beliau, konsep Negara Berkebajikan sudah lama diperkatakan PAS, cumanya dahulu Umno tidak bising mengenai perkara itu kerana menganggap PAS tidak kuat.

Tetapi sekarang katanya, apabila Pakatan Rakyat diterima kuat, maka segala yang dibuat dipersoal Umno-BN.

Dalam perkara yang diperjuangkan PAS dan Umno juga tegasnya, wujud perbezaan yang ketara.

Umno jelasnya, menggadaikan prinsip kerana sanggup tunduk kerapa MCA dan Gerakan apabila parti komponen mereka itu mengugut untuk keluar BN.

“Berbeza PAS yang tetap dengan pendirian dan pendirian itu dihormati rakan KeADILan dan DAP. Hubungan kita dengan KeADILan dan DAP adalah dalam konteks tahaluf ‘smart partnership’,” jelasnya.

Ujar beliau, disebalik hal-hal yang tidak dipersetujui, tetapi antara PAS, KeADILan dan DAP wujud banyak persamaan dalam agenda yang disepakati.

DAP katanya, walaupun tidak setuju sesuatu perkara, tetapi tidak sampai mengugut hendak keluar dan tidak setuju parti itu dalam hal hudud adalah hak mereka.

No comments:

Post a Comment