Wednesday, October 19, 2011

Dakwa BN dalangi pembatalan Majlis Deepavali bersama Anwar

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Masyarakat India Kedah selaku penganjur Majlis Sambutan Deepavali Bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal dengan tindakan Jawatankuasa Kuil Sri Subramania Swami, Jalan Sekerat, di sini yang membatalkan tempahan dewan untuk majlis tersebut.

Menurut ketua penganjur, K Vasantha Kumar, kebenaran penggunaan dewan tersebut telah diterima melalui surat rasmi bertarikh 30 Ogos 2011. Bagaimanapun, pihaknya menerima surat rasmi pembatalan pada tarikh 11 Oktober 2011.

Ujarnya, pihak beliau dimaklumkan bahawa pembatalan tersebut atas tekanan pimpinan BN. Sehubungan itu, pihaknya berusaha berbincang dan mendapatkan penjelasan, namun pihak Jawatankuasa Kuil enggan melayan kunjungan mereka pada 16 Oktober baru-baru ini.

Jelas beliau, kehadiran Anwar adalah untuk meraikan jamuan makan dan pihaknya amat arif dengan hukum agama Hindu yang tidak membenarkan ucapan politik di dalam kuil.

Beliau juga mempersoalkan ketidakadilan itu memandangkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pernah berkunjung ke kuil tersebut tanpa sebarang bantahan.

Oleh itu tegas Vasantha, sekiranya selepas ini terdapat pimpinan BN mengadakan perkara sama di situ, bantahan akan dilakukan.

Maklum beliau, majlis tersebut bagaimanapun akan tetap diteruskan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Sidam, Jalan Sekerat, di sini pada Sabtu, 22 Oktober jam 7.30 malam.


No comments:

Post a Comment