Friday, October 7, 2011

Tagih budi bicara Jabatan Perikanan selesai isu pukat surung

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

TANJONG DAWAI: Para nelayan kecil di sini melahirkan harapan agar pihak Jabatan Perikanan Negeri Kedah sudi berbincang dengan mereka dalam menyelesaikan pertikaian berkaitan penggunaan pukat surung.

Harapan itu diluahkan mereka kepada Adun Tanjong Dawai, Dato’ Dr Hamdan Mohamed Khalib untuk dipanjangkan kepada pihak berkenaan pada sesi dialog khas di Kampung Nelayan, di sini 28 September lalu.

Pada dialog itu, mereka menyatakan kesediaan untuk menunjukkan kaedah perikanan pukat surung kepada pihak Jabatan Perikanan yang mungkin tidak mendapat gambaran sebenar penggunaannya.

Kontroversi tercetus apabila terdapat rakan mereka yang ditahan dan dirampas semua peralatan oleh pihak berkuasa atas kesalahan penggunaan pukat surung awal bulan lalu.

Hal tersebut menimbulkan pertikaian memandangkan penggunaan pukat surung di kalangan nelayan di situ telah melewati usia 20 tahun. Ketidakselarasan penguatkuasaan tersebut juga menimbulkan persoalan berikutan dakwaan nelayan di Perak diberi permit untuk penggunaan pukat yang sama.

Malah, mereka juga kesal kerana penguatkuasaan tegas melalui rampasan dan penahanan tersebut seolah-olah pihak nelayan telah melakukan kesalahan berat. Berbeza dalam kes seperti kesalahan penggunaan pukat tunda, nelayan akan melalui beberapa peringkat amaran sebelum dihadapkan kepada tindakan undang-undang.

Rata-rata mereka yang merupakan nelayan kecil berharap pihak Jabatan Perikanan sedia menggunakan budi bicara dalam menyelesaikan pertikaian tersebut. Pihak nelayan juga memohon agar peralatan rakan mereka yang dirampas dikembalikan serta takrifan penggunaan pukat surung diperjelaskan sebaiknya.

Pada ketika ini kebanyakan mereka tidak dapat turun ke laut berikutan bimbang diambil tindakan pihak berkuasa sekaligus menjejaskan pendapatan mereka yang kebanyakannya miskin dan bergantung hidup kepada hasil laut.

No comments:

Post a Comment