Sunday, October 23, 2011

Pintu sempadan Malaysia - Thailand mudah bolos?

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

BUKIT KAYU HITAM: Para pemandu teksi di sini melahirkan rasa kecewa terhadap Kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak mengambil tindakan berhubung masalah kemasukan kenderaan Thailand ke negara ini terutamanya di pintu masuk sempadan.

Menurut Pengerusi Persatuan Kereta Sewa Bukit Kayu Hitam, Badaruddin Mustafa, permasalahan tersebut telah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian.

Ujar beliau, pihaknya telah mengajukan perkara tersebut sejak lebih tujuh tahun lalu kepada agensi kerajaan dan menteri-menteri yang berkaitan.

Malah katanya, permasalahan tersebut juga pernah dipanjangkan ke pengetahuan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri melalui serahan memorandum.

Kesal melihat tiada sebarang penguatkuasaan disebalik janji yang diterima, para pemandu teksi di sini katanya, pernah melancarkan pelbagai bentuk bantahan sama ada melalui media massa, kain rentang dan poster, demonstrasi, hinggalah ‘ugutan’ dengan menaikkan bendera parti politik.

Jelas beliau, tanpa penguatkuasaan, kenderaan Thailand dilihat masuk secara berleluasa sekaligus memungkinkan mereka menjalankan pelbagai aktiviti komersial. Keadaan itu katanya, turut meragut hak pemandu teksi Malaysia untuk mendapatkan penumpang di dalam sempadan negara sendiri.

Permasalahan itu terangnya, bukan semata-mata berkaitan hak dan kebajikan pemandu teksi yang semakin hilang punca pendapatan, tetapi juga soal pendapatan dan keselamatan negara.

Badaruddin memberikan contoh mengenai kenderaan-kenderaan persendirian Thailand yang membawa masuk barangan jualan tanpa sebarang sekatan atau pemeriksaan.

Begitu juga dakwanya mengenai kenderaan-kenderaan tersebut yang mengisi minyak di negara ini dengan kadar meragukan. Jelas beliau, walaupun kenderaan asing hanya boleh membeli petrol RON97, namun harga di negara ini masih terlalu murah berbanding Thailand.

Oleh itu ujarnya, dipercayai kebanyakan kenderaan tersebut membuat pengubahsuaian tangki untuk tujuan mengisi petrol dalam jumlah besar sebelum dijual semula di Thailand.

Menurut Badaruddin, lebih membimbangkan adalah berkaitan keselamatan apabila pemeriksaan kemasukan di pintu sempadan itu dilihat sangat longgar.

Perkara itu jelasnya, boleh dibuktikan dengan melihat sendiri ‘keistimewaan’ yang diberikan kepada kenderaan persendirian Thailand menggunakan ‘Laluan Hijau’ (Green Lane) tanpa sekatan atau pemeriksaan walaupun laluan itu dikhaskan untuk kenamaan, tentera dan polis sahaja.

Malah katanya, banyak kenderaan Thailand yang masuk itu menggunakan cermin gelap, selain dilihat bergerak di merata tempat dalam negara ini hingga ke Johor Bahru termasuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti perniagaan dan bekerja di ladang-ladang.

Sedangkan pintu sempadan itu maklumnya, dikawal oleh agensi penguatkuasaan seperti Kastam, Imigresen, Unit Pencegah Penyeludupan, Pasukan Gerakan Am, Polis Sempadan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Tentera Regimen Sempadan.

Untuk itu, pihaknya menuntut agar kerajaan segera bertegas terhadap penguatkuasaan berkenaan dengan mengambil tindakan serta-merta sebagaimana termaktub dalam peraturan sedia ada.

Ujar beliau, para pengusaha hanya mahukan keadilan dengan pihak Thailand mengakhiri usaha mereka di pintu sempadan itu tanpa perlu mengambil hak pengusaha teksi Malaysia.

Tinjauan Harakah pada 17 Oktober lalu mendapati kenderaan dari Thailand yang dipercayai bukan atas tujuan dan permit pelancongan masuk dengan mudahnya di pintu sempadan tersebut. Bahkan, banyak kenderaan tersebut dilihat tidak mengakhiri kegiatan sekadar di pintu sempadan sebaliknya bergerak langsung menghala ke selatan atau jauh dari sempadan.

Harakah juga dimaklumkan, perkara sama turut berlaku di pintu-pintu sempadan Malaysia-Thailand yang lain.


Dengan identiti cermin gelap, berkemungkinan kenderaan Thailand juga ada melakukan
kegiatan menyalahi undang-undang

No comments:

Post a Comment