Gambar : YB Ustaz Mohd Nasir Zakaria mengadakan sessi dialog dengan penduduk kampung dan pihak pihak yang terlibat dalam masalah tanah di Padang Sanai.
Kenyataan ini merujuk kepada demontrasi yang dilakukan oleh penduduk kampung kawasan Sebapin Jalan Padang Sanai yang menagih janji Kerajaan Kedah dan Ahli Parlimen Padang Terap mneyelesaikan tuntutan tanah mereka sepertimana yang disiarkan akhbar Sinar Harian bertarikh 30 September 2011.Turut bersama demontrasi tersebut ialah Ketua Pemuda Umno Kedah juga merupakan Ketua Pemuda Umno Padang Terap merangkap Setiuasaha Umno Bahagian Padang Terap dan Penyelaras Parlimen Padang Terap iaitu Tn Hj Badrol Hisham.
Hampir 40 tahun cerita sedih ini berlangsung. Cerita yang amat malang. Malapetaka besar untuk rakyat Padang Terap. Bukan cerita baru isu tanah Padang Sanai atau lebih tepat hampir 30 ribu ekar tanah Daerah Padang Terap. Ia bukan hanya melibatkan 80 keluarga saudara saya yang berdemontrasi pada tanggal 28 September 2011yang terpapar di media massa. Bukan mereka sahaja yang patut berdemontrasi. Sepatutnya saya juga!! Malah apa yang cubadiperjuangkan oleh Pemuda Umno Kedah itu ibarat "Dia yang kentut, tetapi tuduh orang lain kerana ingin menyembunyikan malu".
Saya gembira dan sangat gembira apabila sahabat saya Sdr Badrol Hisham Ketua Pemuda Umno Kedah berani memimpin penduduk kampung bangkit menuntut hak melalui demontrasi. Saya amat berterima kasih akhirnya beliau berani mengakui kesilapan pemimpin-pemimpin Umno secara tidak langsung dan langsung. Menuding jari kepada pihak lain demi politik murahan hanyalah membodohkan diri sendiri. Ia adalah hasil pemerintahan 53 tahun Umno Kedah.
Mari kita lihat beberapa fakta yang diketahui umum :
Pertama : Ketika Menteri Besar, Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabudin dari Umno yang mengetuai Kerajaan Kedah bersetuju untuk memberi peluang kepada syarikat Gula Padang Terap Sdn Bhd (GPT) beroperasi dengan tanaman tebu bermula 1973, pemimpin PAS telah bangun dan memperingatkan penduduk kampung agar jangan percaya dengan janji-janji manis kerajaan yang memerintah pada ketika itu. Peringatan agar jangan menggadaikan tanah usaha milik kerajaan walaupun diberi pampasan (dengan nilai yang mungkin besar pada ketika itu bagi rakyat yang miskindan tiada pilihan). Janji pemaju dan kerajaan Barisan Nasional juga projek mega itu akan menawarkan peluang kepada penduduk kampung hingga ke anak cucu dan sepanjang hayat hanya dipercayai segelintir penduduk.
Kedua: Kebanyakan pemimpin PAS yang berceramah dicemuh. Mereka membandingkan pemimpin PAS dan pemimpin Umno yang berpangkat besar dan berkuasa. Apa ada pada pemimpin PAS. Tiada hitam putih. Yang ada hanya janji. Namun, orang Melayu amat percaya pada janji. Termasuk yang menerima pampasan adalah datuk saya. Mereka yang tidak mengambil pampasan, sebahagiannya menyertai Skim Pekebun Kecil (SPK). Mereka yang menyertai skim kedua, sebahagiannya sudah mendapat hakmilik tanah tersebut. Manakala yang mengambil pampasan, kehilangan peluang memiliki tanah.
Ketiga: Projek tanaman tebu yang terkenal seluruh negara, mengeluarkan hasil gula yang dikenali "Gula Padang Terap". Projek Mega ini amat dibanggakan oleh Umno. Mereka menyebut hanya Umno sahaja boleh buat. Ia adalah projek nasional. Penduduk digulakan dengan pengorbanan demi negara. Rakyat mesti berkorban demi negara.
Keempat : Tebu di tanam di tanah rata. Manakala kawasan berbukit ditinggalkan. Tidak sesuai dan tebu sukar tumbuh. Kawasan hutan, sebahagiannya diteroka oleh penduduk kampung dengan tanaman getah. Penduduk hanya tahu, kawasan yang ditanam tebu sahaja milik syarikat. Kawasan bukit tiada pemilik.
Kelima : Syarikat (yang sudah bertukar pemilik beberapa kali) hanya menggunakan tanah rata. Sehinggalah tanah tersebut sudah tidak ekonomik serta hasil pengeluarannya minimum. Manakala kos operasi temasuk buruh yang meningkat serta bahan mentah eksport yang lebih murah, syarikat terpaksa membuat keputusan perniagaan yang betul. Getah dan kelapa sawit ditanam bagi menggantikan tebu.
Keenam : Sementara getah dan sawit membesar, keperluan kepada pekerja adalah minimum. Syarikat menanggung kerugian dan pembuangan pekerja tidak dapat dielakkan. Ratusan pekerja ditawarkan pampasan atau terpaksa berpindah ke anak syarikat yang lain yang jauh di negeri lain sekiranya ingin terus bekerja. Akibatnya ribuan penduduk yang terdiri daripada keluarga pekerja menerima kesan.
Ketujuh : Penduduk mula dengan lebih giat meneroka tanah termasuklah tanah milik syarikat serta milik agensi kerajaan seperti tanah milik Lembaga Getah Malaysia dan Agensi Pembangunan Tanah Persekutuan atau FELCRA. Berbekalkan duit simpanan serta pampasan yang diterima, penduduk meneroka tanpa sedar atau terpaksa tanah milikan orang lain.
Kelapan : Syarikat dan agensi kerajaan mula bertindak. Penggunaan saluran perundangan juga berlaku. Penduduk tersepit. Mereka menggunakan segala yang terdaya bagi menyelamatkan pelaburan. Tiada pilihan. Siapa yang berani berjanji akan mereka turuti.
Beberapa ulasan saya :
Pertama: Saya menghormati hak saudara-saudara saya berhimpun dengan aman. Malah saya gembira apabila rakyat saya berani bersuara. Saya terbuka untuk mendengar pandangan, dikritik serta bersedia mendengar pandangan rakyat saya. Saya juga amat sedih sekiranya hak rakyat saya dirampas, sebagaimana saya sedih sekiranya hak saya dirampas. Saya merasa terhina sekiranya saya ditipu, begitulah saya rasa semua orang akan merasa terhina sekiranya ditipu.
Kedua: Saya ingin merujuk kepada dakwaan saya berjanji untuk menyelesaikan isu tanah. Saya tidak tahu janji mana yang dimaksudkan. Adakah janji itu melibatkan tanah milikan orang lain. Sekiranya tanah itu membabitkan milikan orang lain, adalah tidak adil, membabitkan kerajaan negeri atau wakil rakyat. Sekiranya ada tuntutan bertindih melibatkan milikan orang lain, perkara tersebut hendaklah dibawa ke mahkamah. Saya tidak tahu samada Ketua Pemuda Umno Kedah merangkap setiausaha Umno Padang Terap boleh selesaikan. Tidak perlulah membodoh dan mengelirukan orang demi politik cetek.
Ketiga : Sudah banyak tanah yang diusahakan yang melibatkan kerajaan negeri sedang diselesaikan oleh jawatankuasa tanah daerah. Syarat-syaratnya termasuklah janganlah tanah tersebut milikan orang lain. Sekiranya keputusan tersebut tidak dipersetujui, ia adalah keputusan kerajaan zaman itu. Sila bertanya, kenapa kerajaan terdahulu memberi tanah kepada pihak tersebut, bukannya mendesak orang lain menyelesaikannya. Isu ini dimulakan oleh orang lain. Tepatnya, segala perjanjian, keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau mesyuarat Exco yang membabitkan tanah-tanah tersebut, dibuat ketika kerajaan Barisan Nasional memerintah.
Keempat: Adalah tidak tepat membuat tuduhan rambang tiada tindakan pihak saya. Pihak saya telah mengambil daya usaha, untuk bertemu dengan banyak pihak termasuklah pejabat tanah, kerajaan negeri serta agensi terbabit. Malah, saya berbahas di parlimen. Sebahagian tanah tersebut milikan persendirian atau kerajaan. Saya dapati segala keputusan yang dibuat oleh pemimpin kerajaan lalu telah mengikat serta menganiaya penduduk. Persoalannya kenapa keputusan seperti itu diambil. Kenapa sejak dari awal penduduk merelakan tanah mereka diambil walaupun ditegah oleh pemimpin pembangkang bahawa tindakan itu membahayakan.
Kelima : Orang yang berjanji supaya berkorban demi negara ialah orang lain. Rupanya slogan itu hanyalah bermatlamat untuk mengambil tanah penduduk termasuk tanah yang sudahpun bergeran. Janji pemimpin Umno dan Barisan Nasional akan mengembalikan semula tanah kepada penduduk selepas tebu tidak lagi ditanam, hanya tinggal janji. Malah lebih kejam, secara senyap tanah sudah menjadi hakmilik orang lain. Jalan-jalan laluan penduduk kampung ditutup. Kubur diceroboh dan lebih malang, penduduk berdepan tindakan mahkamah. Adakah pemimpin Umno mahu menafikan. Kesannya 40 tahun kemudian. Semua orang tahu.
Keenam : Sekiranya penduduk merujuk kepada tanah milik syarikat, saya pasti ia merujuk kepada milikan Syarikat Gula Padang Terap yang sekarang dikuasai oleh Tradewind. Apabila sebahagian atau hampir 30 ribu ekar tersebut didakwa milikan syarikat tersebut kita dapati, tiada peta yang jelas dan ianya menimbulkan kekeliruan sempadan tanah sebenar. Sebenarnya kerajaan Kedah yang diterajui Umno telah menyerakahkan tanah tersebut kepada anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). Akhirnya berlaku pajakan kecil yang bermula sejak 1995 dan akan berakhir 2055. Sudah tentu keputusan ini dibuat oleh pemimpin Umno. Peliknya orang lain yang dituduh. Kenapa tidak dipersoalkan pengkhiatan jelas itu.
Ketujuh. :Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak terbabit dalam keputusan pajakan tanah tersebut pada ketika itu. Malah Pakatan Rakyat belumpun wujud saat itu. Yang ada hanya Umno dan Barisan Nasional. Tanah tersebut sudahpun milikan individu atau syarikat. Adakah pemimpin Umno ingin membodohkan rakyat atau diri sendiri yang bodoh. Adakah kerajaan negeri boleh membatalkan sewenangnya keputusan yang dibuat oleh mesyuarat exco zaman BN, sedangkan semua keputusan itu perlu diteruskan.
Kelapan. : Tanah yang dirujuk oleh penduduk, berlegar di sekitar Syarikat Tradewind, Lembaga Getah Malaysia dan FELCRA. Semua keputusan menyerahkan tanah kepada ketiga-tiga pihak itu dibuat pada zaman Barisan Nasional memerintah Kedah. Dua dari tiga agensi itu adalah agensi Kerajaan Pusat. Malah terdapat pemimpin Umno Padang Terap di salah sebuah agensi itu yang terlibat sebagai Ahli Lembaga Pengarah. Kenapa beliau berdiam diri. Adakah ini isyarat Pemuda Umno untuk beliau atau satu penghinaan kepada beliau.
Kesembilan. : Segala yang berlaku adalah akibat tindakan tidak cermat pemimpin dahulu. Mangsanya adalah rakyat. Apabila hanya percaya tanpa membuat sebarang perbandingan kesannya adalah jangka panjang.
Terakhir:. Banyak lagi pendedahan akan dibuat. Saya akan dedahkan satu persatu. Namun begitu saya mengalukan tambahan maklumat. Saya akan terus buat yang terbaik dan termampu. Selebihnya terserah kepada Allah.
Ahli Parlimen Padang Terap
No comments:
Post a Comment