Tuesday, October 18, 2011

Pupuk keharmonian kaum dengan saling membantu

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SUNGAI PETANI: Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Hamdan Mohamed Khalib menyeru masyarakat agar terus memelihara dan memupuk keharmonian antara kaum.

Ujarnya, sikap prihatin dan tolong-menolong adalah perkara yang dituntut ke atas semua manusia untuk hidup di muka bumi ini. Sehubungan itu juga, sokongan kepada majlis-majlis kebajikan untuk membantu golongan memerlukan perlu diadakan.

Beliau berucap demikian pada majlis Sumbangan Ikhlas oleh Pertubuhan Penganut Por Mui Tian Tow Bo Keng di Jalan Pergam, di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut merupakan program kebajikan tahunan di mana pihak pertubuhan memberikan sumbangan berupa barangan keperluan dapur untuk fakir miskin tanpa mengira latarbelakang kaum dan agama.

Ia diadakan dalam bulan sembilan kalender lunar Cina sempena Hari Sembilan Maharaja Dewa yang turut dikenali sebagai Perayaan Tokong Sayur sebagaimana amalan penganut Taoist di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment