Monday, October 17, 2011

Pelbagai acara menarik di Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Ustaz Musoddak Ahmad

ALOR SETAR: Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Kedah akan dilangsungkan secara besar-besaran selama empat hari empat malam di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut bermula 20 hingga 23 Oktober ini.

Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, Kedah menjadi tapak awal gerakan PAS setelah penubuhannya di Pulau Pinang pada tahun 1951.

Sejarah itu katanya, boleh dihayati semula dengan mengunjungi pameran sempena sambutan ini untuk melihat perkembangan PAS di Kedah yang menjadi titik pengaruh penerimaan kuat kepada gerakan Islam khususnya di utara tanah air.

Menurut beliau juga, antara slot tumpuan pada sambutan tersebut adalah Konvensyen Membangun Negara Berkebajikan yang akan diadakan pada Sabtu, 22 Oktober jam 10 pagi.

Ujarnya, kupasan ilmiah konvensyen itu akan mengenengahkan tasawwur dan realiti Kedah dalam menjayakan gagasan Negara Berkebajikan melalui dua panelis iaitu Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Program khas untuk Muslimat, Pemuda dan kanak-kanak juga akan dilangsungkan, masing-masing pada Jumaat dan Ahad.

Turut akan diadakan sepanjang sambutan adalah majlis tahlil setiap malam dan ceramah yang akan menampilkan antaranya Saifuddin Nasution Ismail, Salahuddin Ayub, Dr Hatta Ramli, Dato’ Paduka Husam Musa, Mohamad Sabu dan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta para pimpinan negeri.




No comments:

Post a Comment