Tuesday, November 1, 2011

Pembebasan Palestin pasti berlaku! - Pemimpin Hamas

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Pemimpin Hamas, Syeikh Ahmad Najjar menyeru umat Islam di seluruh dunia agar terus memberi sokongan dan dokongan kepada perjuangan mereka untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis Israel.

Beliau berucap sedemikian pada Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini 28 Oktober lalu.

Katanya, biarpun menghadapi serangan dan pembunuhan dahsyat dari Israel, namun Hamas merasa bersyukur kerana mendapat sokongan dari gerakan Islam di seluruh dunia termasuk PAS. Malah, mereka juga bersyukur memiliki pemimpin yang hebat untuk memimpin gerakan itu.

Beliau yang juga merupakan penterjemah kepada Perdana Menteri Palestin, Ismael Haniyeh memaklumkan, Israel bukan sahaja telah membunuh ratusan ribu masyarakat awam Palestin tetapi juga melakukan pembunuhan strategik dengan menyerang dan mengebom masjid-masjid yang menjadi lokasi para mujahidin.

Malah terangnya, muslimat turut menggerakkan peranan penting dalam jihad di Palestin dan banyak keluarga yang memberikan anak-anak mereka untuk berjuang serta syahid di jalan Allah.

Maklum beliau, Hamas tidak pernah menyeludup sebarang keperluan dari luar, tetapi membelinya dengan harga yang mahal.

Syeikh Ahmad yang turut pernah dipenjarakan Israel menegaskan, walaupun Zionis Israel gigih untuk menghalau keluar umat Islam Palestin dari bumi suci itu, namun mereka telah berikrar untuk tegar menghadapinya sama ada menemui syahid ataupun kemenangan dalam perjuangan mereka.

Jelasnya, Hamas sama sekali tidak mengiktiraf Israel dan bertegas menyatakan bahawa tanah di situ juga bukan milik Israel, tetapi ia adalah milik umat Islam Palestin dan milik umat Islam di seluruh dunia.

Beliau berharap agar umat Islam di seluruh dunia terus berdoa kepada Palestin serta menyalurkan bantuan kewangan kerana setiap dokongan itu akan mendapat pahala seperti mana mereka yang berjuang di sana.

Mengakhiri ucapannya, beliau penuh yakin menyatakan bahawa pembebasan Palestin pasti berlaku suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment