Tuesday, September 13, 2011

30,000 meriahkan Aidilfitri PAS Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Lebih 30,000 tetamu pelbagai kaum hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri PAS Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 10 September lalu.

Kemeriahan majlis dan sambutan ramai itu hinggakan ada tetamu yang melahirkan rasa terharu dan teruja mereka lantaran merasakan berbezanya penerimaan kepada PAS ketika ini.

Jika 10 tahun dahulu sambutan seumpama hanya dihadiri sekitar 5,000 tetamu dan diadakan cuma di markaz atau sekolah milik PAS Kedah, kini perkarangan luas Kompleks PAS Kedah boleh menjadi sesak dengan kunjungan yang tidak putus-putus.

Majlis yang terpaksa dimulakan seawal jam 11 pagi disebabkan kehadiran ramai itu juga berlarutan hingga jam 5 petang, itupun kunjungan beransur surut setelah hujan lebat turun.

Bahkan sudah tidak ada lagi bungkusan untuk dibawa pulang sepertimana selalu kerana semua yang terhidang habis dijamah pengunjung.



Malah, beberapa kiosk seperti sate, ais kacang dan ais krim terpaksa membuat tempahan tambahan ketika majlis berlangsung, manakala penyedia mee goreng bingkas menggoreng berulang kali dan bihun sup pula direneh seperiuk besar lagi.

Kunjungan ramai juga memaksa pimpinan PAS Kedah turut serta membantu di kiosk antaranya Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar yang bergelandangan menyediakan ‘Mee Goreng Bersih 3.0’. Begitu juga Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad yang menunjukkan bakat menyediakan teh tarik ala Pakistan.

Celoteh dua juruacara menyegarkan lagi suasana disamping kehadiran dua badut yang melayan kanak-kanak dengan belon kreatif mereka.

Pada majlis itu juga, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyampaikan duit raya untuk kanak-kanak yang hadir.


No comments:

Post a Comment