Wednesday, September 14, 2011

Pekung SPR makin terbuka

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Kepincangan besar di dalam senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan ianya diaudit badan bebas bertaraf antarabangsa sebelum pilihan raya dapat diadakan, demikian pertegasan PAS Kedah.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi, PAS Kedah telah membuat analisa dalam senarai daftar induk yang telah disahkan SPR dan mereka itu layak mengundi mendapati wujud senarai besar pengundi diragui.

Beliau menyatakan demikian kepada pihak media dalam satu pendedahan khas Jabatan Pilihan Raya PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 10 September lalu.

Perkara itu jelasnya adalah sepertimana berlaku negeri-negeri lain yang telah didedahkan sebelum ini.

“Kita di Kedah sudah buat analisa dan menemui banyak keraguan dan ini kita dedahkan sebahagiannya. Kita akan minta SPR memberi penjelasan terhadap penemuan (kepincangan) ini.

“Jadi jelas daftar pemilih SPR tidak bersih dan perlu diaudit badan bebas kerana terdapat nama sama, alamat sama, tempat mengundi sama, tetapi kad pengenalan yang disemak tiada dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” terang Phahrolrazi.


Beliau juga mendedahkan terdapat pengundi tentera yang telah bersara dan menjadi pengundi awam, tetapi nama sebagai pengundi tentera masih kekal.

Terangnya, apabila nama sebagai pengundi tentera tidak dibatal, bermakna boleh berlaku salahguna yang memungkinkan undi dua kali berlaku.

Namun katanya, terdapat di kalangan tentera yang membuat pengakuan tidak pernah mengundi tapi apabila disemak mendapati namanya direkodkan sebagai keluar mengundi.

Oleh itu beliau yakin, nama tersebut telah disalahgunakan di mana pengundian dilakukan pihak lain.

Tegasnya, kes melibatkan anggota tentera telah bersara seumpama itu antara yang akan lebih banyak ditemui selepas ini dalam senarai daftar pemilih SPR.

Pada sesi khas itu, Phahrolrazi mendedahkan sebahagian kepincangan tersebut antara contohnya dua pengundi yang mempunyai nama penuh sama, nombor kad pengenalan lama sama dan alamat sama, tetapi sedikit perbezaan angka pada kad pengenalan baru.

Terdapat juga pengundi dengan data seumpama dan mengundi di dalam Dun yang sama tetapi hanya dibezakan tempat mengundi.

Antara dipersoalkan juga senarai pengundi yang tiada alamat dalam daftar pemilih SPR sedangkan ketiadaan alamat akan menyebabkan nama seseorang tidak dapat disahkan.

Paling mengejutkan dalam daftar pemilih SPR itu, kebanyakan pertindanan dua nama pengundi yang disyaki individu sama mendapati salah satu nama tidak wujud dalam rekod semakan JPN.

“Boleh percayakah, dua orang lain, nama sama, alamat sama, kad pengenalan baru hanya berbeza empat angka dihujung?

“Jadi kita mahu daftar pemilih ini dibersihkan sebelum pilihan raya diadakan dan kita juga minta badan bebas dilantik untuk mengadakan audit pada daftar ini. Sepertimana diminta PAS Pusat, kita juga bersetuju dilantik juruaudit bebas bertaraf antarabangsa supaya wujud integriti dalam daftar pemilih SPR.

“Perkara ini juga perlu dibincang dalam Jawatankuasa Khas Parlimen yang akan ditubuhkan. Selama ini Pengerusi SPR suka cabar, jadi kita membuktikannya dengan data-data pendedahan ini,” tegas beliau diakhir sesi itu.

Media turut diberitahu, wujud peningkatan pertambahan luar biasa pengundi baru. Kebiasaannya purata dahulu sekitar lima peratus tetapi sejak 2008 telah melebihi 10 peratus.

Bagaimanapun perkara itu jelas Dato’ Phahrolrazi, masih memerlukan analisa sama ada wujud pertambahan pengundi baru yang diragui atau sebaliknya.


No comments:

Post a Comment