Saturday, September 3, 2011

Mengharap kemenangan dari sisi Allah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KEMENANGAN itu adalah rahsia yang kekal menjadi milik Allah untuk dianugerahkan kepada hamba pilihan-Nya. Setiap kemenangan dan kekalahan dalam pertembungan antara manusia merupakan penggiliran yang ditentukan Allah dalam menetapkan pendirian orang beriman, menghancurkan golongan kafir serta membersihkan dari kelompok munafik.

Sedang kemenangan itu pula menuntut amanah kekhalifahan dalam menjalankan urusan Allah kepada setiap makhluk. Lantaran itulah, orang beriman bermunajat memohon kekuatan dan kekuasaan Allah diberikan kemenangan agar dapat mengekalkan diri dalam takwa serta melaksanakan Islam di atas muka bumi. Munajat juga diadakan dalam meninggikan darjat kehambaan dengan melahirkan kesyukuran serta mengadu harap sepenuhnya kepada ketentuan Allah.

Mengambil limpahan Allah ke atas Ramadan, PAS Kedah telah mengadakan Munajat Perdana PRU-13 sebagai sandaran agar kemenangan dipegang ketika ini dapat dipertahan dan diperkasakan. Seterusnya segala agenda yang dilaksana dan dirancang ketika ini dapat dijayakan dalam penggal pemerintahan berikutnya. Selain memohon Allah mengekang kejahatan musuh ke atas Islam.

Program semalaman yang diadakan selepas solat tarawikh itu dimulakan dengan tayangan lintas langsung ucapan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum hadirin beriktikaf dan tidur di sekitar Kompleks PAS Kedah.

Majlis munajat bermula seawal jam 3.00 pagi dengan solat hajat pimpinan Mudir Madrasah Ar-Rahmaniah, Tuan Guru Salleh Musa. Majlis turut diisi dengan zikir, solat tahajud dan witir sebelum para jamaah bersahur bersama.

Selepas solat Subuh diimamkan Ketua Penerangan Ulama PAS Kedah, Ustaz Mohd Lotfi Ariffin yang juga bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), majlis diteruskan dengan taujihat khas disampaikan Ketua Ulama PAS Kedah, Sheikh Mohamad Abdullah sebelum majlis bersurai.

No comments:

Post a Comment