Friday, September 16, 2011

Ustaz Azizan lontar amaran kepada BN Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengingatkan Umno-BN bahawa rakyat telah menolak mereka dan segala kesilapan mereka dalam pemerintahan lalu masih tidak dilupakan rakyat.

Ujar beliau, banyak penyelewengan pemerintahan dahulu yang tidak mahu didedahkannya, tetapi rakyat mengetahui dan membuktikannya dengan menolak BN pada pilihan raya 2008 lalu.

Tegas Ustaz Azizan beliau menunggu masa sesuai dalam menghadapi serangan BN ke atas pentadbirannya dan beliau lebih bersifat bertahan daripada menyerang.

“Tunggu masa! Saya tidak mahu menyerang, saya bertahan. Oleh itu, jangan beri saya menyerang,” ujarnya melontarkan amaran semasa sesi media pada Majlis Sambutan Aidilfitri PAS Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 10 September lalu.

Jelasnya, selama ini beliau bersikap tidak mendedahkan tetapi menjawab dan menjelaskan segala perkara yang ditimbulkan.

Pendiriannya itu dinyatakan kepada media yang cuba mendapatkan reaksi beliau berhubung pelbagai risalah sebaran BN.

Beliau juga menyerahkan perkara itu kepada rakyat kerana beliau yakin rakyat dapat menilai dengan baik.

Jelasnya, pentadbiran sekarang jauh lebih cekap antaranya mampu menambahkan hasil pendapatan negeri berbanding pentadbiran di masa BN dahulu.

“Saya hendak tanya siapa lebih cekap mentadbir? BN dapat RM8 juta bagi 2,400 hektar kawasan balak tetapi kita dapat RM53 juta dengan keluasan sama. Anda nilai sendiri,” lontarnya.


No comments:

Post a Comment