Monday, September 19, 2011

Sambutan Aidilfitri Anak Kedah Di Perantauan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Rasa kekitaan sebagai anak negeri dan keinginan menzahirkan sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat, menjadi dorongan kehadiran sekitar 2,000 tetamu ke Majlis Aidilfitri Anak-anak Kedah Di Perantauan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini 18 September lalu.

Anak-anak perantau Kedah yang ditemui Harakah pada majlis itu nyata teruja untuk turut serta sebagai menyatakan bahawa diri mereka masih sebahagian daripada Kedah walaupun telah bertahun-tahun bermastautin menjadi warga kota metropolitan.

Tidak kurang ada juga menegaskan hasrat untuk melihat kepimpinan ketika ini terus kekal dan teguh menerajui pemerintahan negeri Kedah kerana merasa bangga dengan pencapaian yang telah ditunjukkan.

Malah, ada yang hadir kerana mahu melepaskan rindu dan selesa ‘bersembang rabung’ dengan kenalan senegeri dalam loghat daerah masing-masing.

Suasana mahabah kenegerian itu juga jelas terlihat apabila tetamu dan urusetia saling bertungkus lumus mengeluarkan air yang menakung di dewan majlis lantaran hujan lebat sebelumnya.


Kegembiraan semakin jelas terpancar di wajah para tetamu yang dilihat teruja menyambut ketibaan Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Kesemua mereka berdiri menanti beliau masuk dan mengambil peluang bersalaman dengannya.

Seusai ucapan Ustaz Azizan, para tetamu bersama menikmati hidangan antaranya laksa, bihun sup, sate, mi dan koew teow goreng, lemang dan rendang, kuih muih, kerepek dan nasi gulai daging batang pisang yang paling mendapat tarikan ramai.




Pada majlis itu juga, kanak-kanak diceriakan dengan pemberian duit raya oleh Ustaz Azizan. Turut diadakan pameran dan kaunter penerangan serta semakan daftar pemilih.

Tetamu kenamaan yang hadir sama antaranya bekas Bendahari PAS Pusat, Ustaz Halim Arshad; artis terkenal, Zulkifli Ismail dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Phang Chow.


Kesemua tetamu diraikan para pimpinan kerajaan yang hadir antaranya Dato’ Ir Amiruddin Hamzah, Ustazah Siti Ashah Ghazali, Ustaz Ahmad I'zzat Mohamed Shauki, Yahya Abdullah, Johari Abdullah, Mohd Nasir Mustafa dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment