Monday, September 26, 2011

Kemeriahan Aidilfitri bukti sokongan kepada Pakatan Rakyat

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Jalinan muhibah antara kaum mengisi kemesraan pada majlis Aidilfitri yang dianjurkan wakil rakyat dan PAS Kawasan. Kehadiran menikmati hidangan dan keramahan perbualan membuktikan rakyat pelbagai kaum di negeri ini semakin disatukan di bawah Pakatan Rakyat.

Demikian dapat disaksikan pada Majlis Aidilfitri Adun Ayer Hitam Dan PAS Kawasan Jerlun yang diadakan di tapak gerai MDKP, Ayer Hitam pada 17 September lalu.

Masyarakat bukan sahaja dari kaum Melayu, tetapi juga India, Tionghua dan Siam hadir dengan gembira meraikan bersama Aidilfitri. Majlis itu dilihat menjadi kesempatan kepada mereka menjalin hubungan selain membicarakan pelbagai isu dan cerita kehidupan mereka.

Adun Ayer Hitam yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Jerlun, Ustaz Abd Ghani Ahmad berusaha mendengar setiap perkara diajukan mereka selain meraikan tetamunya itu untuk menikmati juadah disediakan.

Lebih manis bagi para hadirin apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak turut sudi hadir walaupun dipenghujung majlis. Ucapan Ustaz Azizan menarik minat mereka mendengar dengan teliti keprihatinan yang telah diusahajayakan kepada rakyat.

Sementara itu di Serdang, Majlis Aidilfitri PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu juga turut diraikan masyarakat pelbagai kaum pada majlis yang diadakan di Dewan Ustaz Fadzil Mohd Noor, di sini 16 September lalu.

Walaupun diadakan secara sederhana ditambah hujan lebat ketika majlis berlangsung, namun kemeriahan tetap jua dirasai hasil kunjungan ramai dan tautan kemesraan yang dilahirkan.

Pelbagai menu hidangan disediakan dan paling istimewa adalah mi rebus yang dimasak sendiri Yang DiPertua PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu, Ustaz Hassan Razak.

Selain menikmati hidangan, para hadirin juga diperdengarkan dengan persembahan nasyid dan ghasidah dari para pelajar tahfiz.

Di Pendang, Majlis Aidilfitri PAS Kawasan Pendang meriah seumpama pasar hari dengan kunjungan ramai dan pelbagai menu disediakan. Majlis diadakan di Pekan Pendang, 15 September lalu.

Antara kelainan pada majlis ini adalah air minuman sebanyak 12 jenis yang disediakan untuk para tetamu.

Kerana kunjungan ramai yang tidak putus-putus itu, Yang DiPertua PAS Kawasan Pendang yang juga Adun Tokai, Dato’ Taulan Mohamed Rasul dan Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman terpaksa mengadakan lima kali pemberian duit raya untuk kanak-kanak.


No comments:

Post a Comment