Friday, September 30, 2011

Pemuda Kedah siap sedia hadapi PRU-13

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dalam rangka merealisasikan pemuda sebagai elemen penggerak terpenting menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah telah mengadakan Kembara Mahabbah ke seluruh parlimen negeri ini pada 23 dan 24 September lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Helmi Abd Wahab, kembara itu merupakan semakan terakhir tahap kesiapsiagaan Dewan Pemuda PAS Kawasan sebagai jentera pilihan raya di parlimen masing-masing.

Ujar beliau, Jentera Pilihan Raya Pemuda PAS bukan sahaja akan berperanan di Dun dan Parlimen yang ditandingi calon PAS, tetapi turut disiapkan menjadi pembantu utama kepada KeADILan dan DAP.

Usaha itu katanya, sebagai memastikan kemenangan sedia ada dapat dipertingkatkan melalui pertambahan kerusi dan juga majoriti.

Menurut Helmi, pada ketika ini Pemuda PAS Kedah meletakkan kesiapan bahawa pilihan raya akan berlaku pada bila-bila sahaja.

Sehubungan itu, arahan khas pendekatan terakhir ke atas sasaran undi telah dikeluarkan kepada seluruh jentera pemuda sempena kembara tersebut.

Jelas beliau, arahan tersebut merupakan perincian yang telah diseragamkan untuk dilaksanakan Dewan Pemuda PAS Kawasan ke setiap Unit Peti Undi (UPU) atau PAS Cawangan selaras ketetapan Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Kedah.

Kembara selama dua hari dua malam itu melibatkan lawatan ke 34 Dun dalam 14 Parlimen dalam negeri Kedah, manakala bagi Parlimen Langkawi diadakan pada tarikh berasingan.

Pokok Sena


Padang Terap


Pendang


Sik


Baling


Kulim Bandar Baharu


Padang Serai


Sungai Petani


Merbok


Jerai


Alor Setar


Kuala Kedah


Jerlun


Kubang Pasu

Thursday, September 29, 2011

Yayasan Khairiah tawar pengajian tahfiz sains

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

BALING: Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Khairiah (SMAYK), Kampung Pisang, Kupang terus melangkah ke hadapan dengan menawarkan bidang baru untuk masyarakat umum melalui pengajian Tahfiz Al-Quran dan Sains.

Pengetuanya, Ustaz Abdul Rahman Yahya berkata, Pusat Tahfiz Al-Quran dan Sains itu adalah sebuah institusi ilmu berdimensi baru di bawah pengurusan dan pentadbiran SMAYK sepenuhnya.

Menurut beliau, kelas pengajian mula beroperasi pada Januari 2010 dengan pengambilan seramai 35 pelajar dan hanya melibatkan pelajar lelaki. Untuk tahun 2012 bermakna mereka bakal menerima kemasukan generasi ketiga.

Melalui pengajian tersebut, dua dimensi ilmu yang berbeza digabungkan dalam usaha melahirkan golongan huffaz al-Quran profesional serta saintis berjiwa al-Quran.

Dengan pembukaan pusat tahfiz tersebut juga bermakna bilangan pengajian tersebut semakin banyak ditawarkan di negeri ini tanpa perlu merantau jauh.

Untuk memasuki pusat tahfiz ini, setiap pelajar haruslah memenuhi kriteria ditetapkan iaitu lulus dengan keputusan 5A atau 4A, 1B dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) .

Menurut Ustaz Abdul Rahman, selain keputusan cemerlang UPSR, pelajar juga harus menduduki Ujian DhurAwwal dan lulus semua ujian Saringan Tahfiz Sains (USTS).
                              
Pemilihan ketat ini adalah syarat yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah bagi menghasilkan pelajar berkualiti dan dapat mengikuti pengajian sehingga ke peringkat terakhir.

Sekolah Agama Rakyat sepenuhnya di bawah pentadbiran Lembaga Tadbir Yayasan Khairiah namun masih di bawah kawalan dan pemantauan Jabatan Agama Negeri Kedah.  

Mempunyai hampir 1800 pelajar, ia kini sedang pesat membangun dan berkembang sebagai sebuah institusi pengajian agama yang meniti nama di seluruh Malaysia.

Sebarang pertanyaan berhubung sekolah sila hubungi talian 04 – 476 6934 atau 013 – 412 6638

Wednesday, September 28, 2011

Tabung buluh kumpul dana PRU-13

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

PENDANG: Dewan Muslimat PAS Kawasan Pendang segera menggerakkan usaha pengumpulan dana kewangan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan melancarkan Tabung Buluh.

Majlis penyerahan tabung tersebut telah disempurnakan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS negeri kedah, Kapten (B) Zamri Ibrahim di Pejabat PAS Kawasan Pendang, Gajah Mati, di sini, baru-baru ini.

Menurut Ketua Muslimat PAS Pendang, Dr Rahimah Sahit, pelancaran itu diadakan sebagai memulakan gerakan menabung di kalangan ahli PAS seluruh Pendang dan ia selaras dengan arahan Dewan Muslimat PAS Pusat.

Ujar beliau, kaedah itu adalah paling mudah dan mampu dilakukan oleh semua pihak secara berdikit-dikit dan diharap dengan tabungan itu nanti mampu menampung keperluan PAS Kawasan Pendang menghadapi PRU-13.

Harakah difahamkan, anggota Muslimat PAS Pendang mengusahakan sendiri mendapatkan buluh di hutan dan belukar untuk dijadikan tabung tersebut.

Monday, September 26, 2011

Kemeriahan Aidilfitri bukti sokongan kepada Pakatan Rakyat

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Jalinan muhibah antara kaum mengisi kemesraan pada majlis Aidilfitri yang dianjurkan wakil rakyat dan PAS Kawasan. Kehadiran menikmati hidangan dan keramahan perbualan membuktikan rakyat pelbagai kaum di negeri ini semakin disatukan di bawah Pakatan Rakyat.

Demikian dapat disaksikan pada Majlis Aidilfitri Adun Ayer Hitam Dan PAS Kawasan Jerlun yang diadakan di tapak gerai MDKP, Ayer Hitam pada 17 September lalu.

Masyarakat bukan sahaja dari kaum Melayu, tetapi juga India, Tionghua dan Siam hadir dengan gembira meraikan bersama Aidilfitri. Majlis itu dilihat menjadi kesempatan kepada mereka menjalin hubungan selain membicarakan pelbagai isu dan cerita kehidupan mereka.

Adun Ayer Hitam yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Jerlun, Ustaz Abd Ghani Ahmad berusaha mendengar setiap perkara diajukan mereka selain meraikan tetamunya itu untuk menikmati juadah disediakan.

Lebih manis bagi para hadirin apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak turut sudi hadir walaupun dipenghujung majlis. Ucapan Ustaz Azizan menarik minat mereka mendengar dengan teliti keprihatinan yang telah diusahajayakan kepada rakyat.

Sementara itu di Serdang, Majlis Aidilfitri PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu juga turut diraikan masyarakat pelbagai kaum pada majlis yang diadakan di Dewan Ustaz Fadzil Mohd Noor, di sini 16 September lalu.

Walaupun diadakan secara sederhana ditambah hujan lebat ketika majlis berlangsung, namun kemeriahan tetap jua dirasai hasil kunjungan ramai dan tautan kemesraan yang dilahirkan.

Pelbagai menu hidangan disediakan dan paling istimewa adalah mi rebus yang dimasak sendiri Yang DiPertua PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu, Ustaz Hassan Razak.

Selain menikmati hidangan, para hadirin juga diperdengarkan dengan persembahan nasyid dan ghasidah dari para pelajar tahfiz.

Di Pendang, Majlis Aidilfitri PAS Kawasan Pendang meriah seumpama pasar hari dengan kunjungan ramai dan pelbagai menu disediakan. Majlis diadakan di Pekan Pendang, 15 September lalu.

Antara kelainan pada majlis ini adalah air minuman sebanyak 12 jenis yang disediakan untuk para tetamu.

Kerana kunjungan ramai yang tidak putus-putus itu, Yang DiPertua PAS Kawasan Pendang yang juga Adun Tokai, Dato’ Taulan Mohamed Rasul dan Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman terpaksa mengadakan lima kali pemberian duit raya untuk kanak-kanak.


Sunday, September 25, 2011

HUDUD: PEMUDA PAS KEDAH TAWAR DIALOG KEPADA GERAKAN


Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) mengikuti dengan teliti polemik yang berlegar sekitar isu hudud. Pelbagai pihak mengeluarkan pandangan yang kekadang tersasar daripada tujuan sebenar dan semangat undang-undang hudud itu sendiri. Ingin ditegaskan bahawa semangat dan  roh kepada undang-undang ialah keadilan. Keadilan Islam mengatasi batas agama, bangsa ataupun warna kulit seseorang.  Sepertimana Islam mewajibkan keadilan dilaksanakan kepada seorang Islam, keadilan juga wajib kepada orang bukan Islam.

DPPNK ingin merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Saudara Tan Keng Liang, sahabat kami dan merupakan Ketua Pemuda Parti Gerakan Kedah. Kami amat menghargai keperihatinan beliau terhadap isu-isu yang membabitkan Islam. DPPNK percaya, kenyataan beliau yang disiarkan pada 24 September 2011 di dalam akhbar Sinar Harian adalah cetusan dhamir beliau dan kefahaman beliau terhadap Islam. Beberapa perkara yang kami fahami daripada kenyataan beliau itu wajar kita renungkan bersama.

Pertama. Kenyataan beliau DPPNK petik. "Keng Liang berkata, seharusnya tidak ada paksaan bagi seseorang untuk menerima undang-undang agama lain". Inilah satu kenyataan yang tepat. Sesungguhnya Islam tidak pernah memaksa penganut agama lain menerima Islam. Malah Allah berfirman di dalam al-Quran, "Tidak ada paksaan di dalam agama". Malah dalam perlaksaan hudud juga sebagai sebahagian daripada undang-undang Islam di samping qisas dan ta'zir tidak melibatkan orang bukan Islam. Mungkin saudara Keng Liang sudahpun maklum tentang hal itu. Perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan hanya melibatkan orang muslim.

Kedua. Saudara saya Keng Liang juga berkata “parti itu (PAS) perlu memperincikan undang-undang hudud yang mahu dilaksanakan supaya orang bukan Islam dapat memahami secara lebih jelas cadangan itu”. Alhamdulillah, DPPNK percaya kata-kata ini lahir dari keihlasan saudara Keng Liang mewakili rakan-rakan di dalam Parti Gerakan. Sebenarnya, Undang-undang ini sudahpun diluluskan di Undangan Negeri Kelantan. Ia dinamakan Enakmen Undang-undang kanun Jenayah Shariah (ii). Sebelum ia dibentang dan diluluskan, ia telah diseminarkan, dibahaskan bahkan dibuka kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi pandangan.DPPNK menyambut baik kesediaan saudara dan rakan-rakan untuk kita sama-sama duduk semeja belajar memahami agama masing-masing. Sudah tentulah beliau akan mendapat gambaran yang bakal disampaikan oleh pakar berkenaan persamaan atau perbezaan dengan Arab Saudi, Iran atau Afghanistan.

Ketiga. Beliau juga mengatakan bahawa tidak ada di dalam dunia yang mengamalkan dua sistem perundangan berbeza secara serentak . Bagi DPPNK, sekiranya perundangan seperti itu berlaku di Malaysia dan ia terbukti membawa kebaikan kepada negara dan masyarakat, ia lebih baik. DPPNK percaya, itulah yang semangat yang sama-sama kita dokong. Sekiranya belum wujud negara seumpama itu di dunia, marilah kita sama-sama realisasikan. Malaysia boleh!
Keempat. Saudara saya juga dipetik berkata. “Undang-undang Syariah sudah memadai untuk orang Islam”. Inilah yang cuba PAS laksanakan. DPPNK merasakan bahawa, Saudara Keng Liang perlu mendapat lebih banyak maklumat berkenaan Islam. DPPNK mencadangkan kenyataan saudara difahami di luar konteks sebenar.  Duduk semeja adalah jawapan. DPPNK percaya kesungguhan Saudara untuk memberi ruang kepada Perundangan Islam dilaksanakan walaupun ianya sudah melangkaui agama lain. Apapun kita akan terus berdialog dan DPPNK mengambil sikap untuk tidak mencampuri urusan agama lain.
Kelima. DPPNK merasakan kenyataan saudara Keng Liang dan perbincangan DPPNK bersama beliau kelak adalah masih bersifat akademik. Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan termasuklah kefahaman terhadap Perundangan Islam, dialog, Perlembagaan Persekutuan dan sebagainya. Sudah tentulah terlalu banyak isu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum Undang-undang Syariah boleh dilaksanakan. Namun kesediaan saudara untuk berdialog adalah satu perkembangan yang amat baik. DPPNK bersedia pada bila-bila masa untuk bertemu bagi membaiki dan memperkemas lagi hubungan yang sudah sedia terjalin.

YB Ustaz Mohd Nasir Zakaria
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah
Ahli Parlimen Padang Terap

Friday, September 23, 2011

Ketua Pemuda Umno Kedah Hina Peranan NGO


Non-governmental organization, ataupun dikenali sebagai NGO atau sekarang mula dipopularkan dengan nama Lembaga Swadaya Rakyat adalah organisasi yang diwujudkan secara bebas daripada kerajaan. Selepas kerajaan dan swasta, NGO adalah satu lagi ejen pembangunan negara yang berperanan penting sebagai pengimbang dan penyumbang penting negara.

Sebagai pergerakan yang tidak berasaskan keuntungan, bersifat sukarela dan melangkaui peranan parti politik, NGO berperanan besar sebagai penghubung kepada semua ejen pembangunan negara dan lebih terbuka serta lebih mudah disertai oleh semua golongan. Ahli kepada NGO berkongsi matlamat dan tujuan yang sama, baik untuk tujuan sosial, perundangan, hak-hak tertentu, alam sekitar, haiwan, pengguna, pembangunan komuniti, pendidikan, agama, wanita, belia, mahasiswa ataupun apa-apa tujuan yang eksklusif.

Rekod menunjukkan terdapat 40 000 NGO yang beroperasi di peringkat antarabangsa bahkan di India dianggarkan terdapat 3.3 juta NGO pada tahun 2006.

Menilai gelagat pemimpin politik yang akhir-akhir ini melihat pemimpin NGO sebagai pesaing kepada pemimpin politik adalah agak melucukan. Ketakutan yang bagi saya lahir daripada peranan yang semakin luas yang berjaya dimainkan dan dijuarai oleh pemimpin NGO yang berkecimpung secara langsung dengan masyarakat. Mereka bergelumang di dalam massa tanpa mengira malam siang serta risiko yang terpaksa ditempuh. Bahkan sebahagian mereka menggunakan daya usaha sendiri mencari dana tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan mahupun mana-mana pihak.

Ada beberapa pandangan sisi saya berkaitan komen pemimpin Pergerakan Pemuda Umno negeri Kedah yang mempertikaikan wakil daripada NGO dipilih sebagaicalon pilihanraya kerana dibimbangi berpaling tadah dan tidak memahami aspirasi Kerajaan Pusat.

Pertama.
Kenyataan Ketua Pemuda Umno Kedah itu menghina NGO yang bergerak membantu dengan ikhlas pembangunan agama, bangsa dan negara.

Kedua. Ketakutan pemuda Umno yang tidak berasas berkaitan dengan kegilaan pemimpin NGO untuk menjadi calon.

Ketiga.
Menafikan peranan NGO yang berjaya menggerakkan kesedaran sivil termasuk politik, ekonomi dan sosial. Kebangkitan NGO termasuk BERSIH 2.0 yang telah berjaya menyedarkan masyarakat sivil dan awam terhadap politik amat membimbangkan Umno.

Keeempat
. Kemampuan NGO mengumpulkan khalayak yang ramai benar-benar mengejutkan Umno yang sedang terkial-kial cuba meraih simpati masyarakat terutama pasca PRU 12.

Kelima. Penyertaan pemimpin-pemimpin NGO yang secara kebetulannya ramai yang mesra pembangkang dan kritikal terhadap dasar Kerajaan Barisan Nasional memberi petanda buruk terhadap BN Umno

Keenam. Kegagalan kepimpinan Umno untuk mengheret pemimpin NGO menyokong dasar tidak popular BN yang menekan rakyat.

Justeru, saya berpandangan bahawa perkembangan yang berlaku ini kurang positif. Peranan NGO yang amat besar itu cuba diperlekehkan oleh Pemuda Umno

YB Ustaz Mohd Nasir Zakaria
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah
Ahli Parlimen Padang Terap

Monday, September 19, 2011

HIMPUNAN AIDILFITRI BERSAMA BAKAL CENDIAKIAWAN HARAPAN BANGSA



Buat tahun ketiga berturut-turut, ratusan mahasiswa diraikan dalam perjumpaan 'Idul Fitri bersama kepemimpinan Dewan Pemuda dan YB Ustaz Nasir Zakaria. Perjumpaan peringkat parlimen Padang Terap ini biasanya diisi dengan Pengucapan Awam Perdana oleh YB Ustaz serta dialog terbuka dengan para mahasiswa. Ia berkisar tentang idea-idea baru, perkembangan politik mahasiswa, nasional dan antarabangsa. Polemik-polemik akedemia serta harapan YB Ustaz yang ingin melihat anak Padang Terap meneroka bidang-bidang baru serta menguasai segala ilmu ditekankan di dalam Ucapan Perdana beliau. 

Kritis, peka dan responsif kepada perkembangan semasa serta penyertaan di dalam program-program kemasyarakatan khususnya di Padang Terap adalah antara tema penting di dalam perjumpaan dengan mahasiswa. Perkongsian pengalaman YB Ustaz yang pernah menjadi pemimpin mahasiswa peringkat nasional juga disampaikan. Terima Kasih Mahasiswa. Hidup Mahasiswa.

Sambutan Aidilfitri Anak Kedah Di Perantauan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM &
MOHD SHAFRI SHAMSUDIN

KUALA LUMPUR: Rasa kekitaan sebagai anak negeri dan keinginan menzahirkan sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat, menjadi dorongan kehadiran sekitar 2,000 tetamu ke Majlis Aidilfitri Anak-anak Kedah Di Perantauan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Taman Melewar, di sini 18 September lalu.

Anak-anak perantau Kedah yang ditemui Harakah pada majlis itu nyata teruja untuk turut serta sebagai menyatakan bahawa diri mereka masih sebahagian daripada Kedah walaupun telah bertahun-tahun bermastautin menjadi warga kota metropolitan.

Tidak kurang ada juga menegaskan hasrat untuk melihat kepimpinan ketika ini terus kekal dan teguh menerajui pemerintahan negeri Kedah kerana merasa bangga dengan pencapaian yang telah ditunjukkan.

Malah, ada yang hadir kerana mahu melepaskan rindu dan selesa ‘bersembang rabung’ dengan kenalan senegeri dalam loghat daerah masing-masing.

Suasana mahabah kenegerian itu juga jelas terlihat apabila tetamu dan urusetia saling bertungkus lumus mengeluarkan air yang menakung di dewan majlis lantaran hujan lebat sebelumnya.


Kegembiraan semakin jelas terpancar di wajah para tetamu yang dilihat teruja menyambut ketibaan Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Kesemua mereka berdiri menanti beliau masuk dan mengambil peluang bersalaman dengannya.

Seusai ucapan Ustaz Azizan, para tetamu bersama menikmati hidangan antaranya laksa, bihun sup, sate, mi dan koew teow goreng, lemang dan rendang, kuih muih, kerepek dan nasi gulai daging batang pisang yang paling mendapat tarikan ramai.




Pada majlis itu juga, kanak-kanak diceriakan dengan pemberian duit raya oleh Ustaz Azizan. Turut diadakan pameran dan kaunter penerangan serta semakan daftar pemilih.

Tetamu kenamaan yang hadir sama antaranya bekas Bendahari PAS Pusat, Ustaz Halim Arshad; artis terkenal, Zulkifli Ismail dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Phang Chow.


Kesemua tetamu diraikan para pimpinan kerajaan yang hadir antaranya Dato’ Ir Amiruddin Hamzah, Ustazah Siti Ashah Ghazali, Ustaz Ahmad I'zzat Mohamed Shauki, Yahya Abdullah, Johari Abdullah, Mohd Nasir Mustafa dan lain-lain.

Saturday, September 17, 2011

MANSUH ISA: SYABAS DAN TAHNIAH PEMUDA UMNO

Tiadalah manusia yang bertamadun di dalam dunia yang rela diri mereka dizalimi, dihina, dikurung, ditangkap, ditahan tanpa bicara, tidak boleh diwakili peguam dan diperlakukan sesukanhatinoleh orang lain. Itulah yang berlakundengan wujudnya akta zallim seumpama Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA. Pernah dalam perbahasan di Dewan Rakyat, bermati-matian ahli parlimen Barisan Nasional mempertahankan akta lapuk dan zalim itu. Sebahagian ahli parlimen itu berhujah, semua tahanan akta zalim itu ada sebabnya termasuklah tahanan itu melakukan kesalahan. Termasuklah yang berhujah itu ialah ahli parlimen Pasir Salak yang pernah ditahan.

Apabila pimpinan pembangkang termasuk Naib Presiden PAS Dato Mahfuz Omar menjawab, bahawa beliau bersetuju bahawa sekiranya seseorang yang ditahan dibuktikan bersalah, dibawa ke mahkamah, tetapi beliau tidak dibuktikan bersalah atau diberitahu, jadi kenapa beliau ditahan? Kenapa tidak dibicara di mahkamah terbuka? Terduduk ahli-ahli parlimen Barisan Nasional. Seingat saya, Datuk Zaid Ibrahim bekas Menteri meletak jawatan akibat penentangan beliau terhadap akta itu yang pada ketika itu dipertahan habis-habidan oleh pemimpin tukang angguk Barisan Nasional.

Saya ingin  merujuk kepada kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah Saudara Badrol Hisham Hashim di dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 17 haribulan September 2011 berkaitan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan tahniah atas pengakuan yang berani dan jujur beliau mewakili kepemimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah. Beliau secara tidak langsung mengakui beberapa perkara.

1. Akta itu tidak demokratik, zalim dan tidak berperikemanusiaan. Ketika akta ini yang bertujuan mengekang pergerakan komunis dan unsur-unsur subversif, kebanyakan kepemimpinan UMNO pertahankan habis-habisan. Namun, mereka cepat-cepat menjustifikasikan semula apabila keputusan memansuhkan akta ini diumumkan.

2. Pemansuhan itu membuktikan bahawa selama hampir 50 tahun parti pemerintah sememangnya zalim. Kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kedah yang mengatakan bahawa pemansuhan akta itu "demi memastikan amalan demokrasi yang lebih telus dan terbuka dapat dilaksanakan di negara ini" membuktikan kezaliman parti pemerintah. Saya mengalukan pengakuan ikhlas daripada saudara ketua pemuda UMNO Kedah. Demokrasi yang tempang itulah yang menyelamatkan UMNO.

3. Pengakuan beliau "rakyat negara ini juga tidak harus terburu-buru membuat spekulasi negatif terhadap langkah pemansuhan ISA dan pemindaan beberapa akta kerana keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira kepentingan rakyat". Saya ingin persoalkan kenyataan ini, adakah beliau memperakui bahawa dengan hampir 50 tahun berjalannya akta ini menunjukkan parti pemerintah tidak mengambil kira kepentingan rakyat? Setelah beribu-ribu mangsa dizalimi, puluhan ribu ahli keluarga yang dihina, anak-anak yang membesar tanpa bapa di sisi, isteri yang menjadi janda bercerai-berai akibat kesalahan yang tidak dibuktikan, saya gembira apabila mendengar pengakuan ikhlas pemimpin UMNO.

4. Soal bahawa pemansuhan akta ini tiada kena mengena dengan desakan pembangkang adalah satu kenyataan yang menghina keputusan yang dibuat oleh rakyat memilih pemimpin. Saya dan rakan-rakan ahli dewan rakyat secara konsisten membantah akta ini. Malah, kami berdepan dengan cemuhan dan sindiran. Malah saudara Ketua Pemuda UMNO sendiri pernah mempersoalkan perbahasan saya yang katanya membela tahanan ISA. Saya cadangkan bahawa beliau memetik ucapan saya diluar konteks dan menyalahertikan ucapan saya. Sedangkan pembelaan saya dalam ucapan saya ialah berkaitan dengan pembelaan kepada manusia yang dizalimi yang tidak dibuktikan secara proses perundangan.

5. Apapun saya percaya, ketakutan kepada janji Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga menyebabkan Barisan Nasional menjadi hilang punca. Respon kerajaaan Barisan Nasional antara lain ialah menghapuskan akta-akta zalim

Apapun sekali lagi tahniah atas keberanian dan kelantangan saudara.

Ustaz Mohd Nasir Zakaria
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah
Ahli Parlimen Padang Terap

Friday, September 16, 2011

Ustaz Azizan lontar amaran kepada BN Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengingatkan Umno-BN bahawa rakyat telah menolak mereka dan segala kesilapan mereka dalam pemerintahan lalu masih tidak dilupakan rakyat.

Ujar beliau, banyak penyelewengan pemerintahan dahulu yang tidak mahu didedahkannya, tetapi rakyat mengetahui dan membuktikannya dengan menolak BN pada pilihan raya 2008 lalu.

Tegas Ustaz Azizan beliau menunggu masa sesuai dalam menghadapi serangan BN ke atas pentadbirannya dan beliau lebih bersifat bertahan daripada menyerang.

“Tunggu masa! Saya tidak mahu menyerang, saya bertahan. Oleh itu, jangan beri saya menyerang,” ujarnya melontarkan amaran semasa sesi media pada Majlis Sambutan Aidilfitri PAS Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 10 September lalu.

Jelasnya, selama ini beliau bersikap tidak mendedahkan tetapi menjawab dan menjelaskan segala perkara yang ditimbulkan.

Pendiriannya itu dinyatakan kepada media yang cuba mendapatkan reaksi beliau berhubung pelbagai risalah sebaran BN.

Beliau juga menyerahkan perkara itu kepada rakyat kerana beliau yakin rakyat dapat menilai dengan baik.

Jelasnya, pentadbiran sekarang jauh lebih cekap antaranya mampu menambahkan hasil pendapatan negeri berbanding pentadbiran di masa BN dahulu.

“Saya hendak tanya siapa lebih cekap mentadbir? BN dapat RM8 juta bagi 2,400 hektar kawasan balak tetapi kita dapat RM53 juta dengan keluasan sama. Anda nilai sendiri,” lontarnya.


Wednesday, September 14, 2011

Isu Lompat Parti Di Padang Terap : Mana Kredibiliti Ketua Pembangkang Kedah?




Sudah berlalu 3 hari cabaran Dewan Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Terap kepada Dato' Seri Mahawangsa Dato Seri Setia Diraja Mahdzir Khalid selaku Ketua Bahagian Umno Padang Terap , Ketua Pembangkang Kedah jugak Ahli Majlis Tertinggi Umno supaya mengemukakan pembuktian terhadap 50 orang ahli PAS Padang Terap masuk Umno.Sila Rujuk : Cabaran Kepada UMNO Padang Terap Nampaknya, tiada langsung respon daripada kepemimpinan Umno Bahagian Padang Terap.. GAGALlah mereka mengemukakan senarai ahli PAS tersebut. Bukan main gegak gempitanya pengumuman 'pembohongan' tersebut. Saya percaya akan timbul lagi pengumuman-pengumuman serupa. Malah akan ada beratus-ratus malah beribu ahli PAS akan menyertai parti korup Umno menjelang PRU 13. Sehingga lojiknya PAS Padang Terap hanya akan berbaki Yang Dipertua, Setiausaha, Ketua Pemuda, Ketua Muslimat dan Ketua Ulamak sahaja. Teknik yang sudah tidak releven di zaman generasi x dan y. Ianya hanya sesuai ketika internet dan media alternatif belum meledak di kalangan rakyat dan tv di sembah sebagai sumber utama berita.

Ada beberapa teori kegagalan :


1. Memang berita yang keluar itu satu berita bohong, penceritanya adalah pembohong dan orang yang percaya adalah orang yang kena bohong. Medianya pun pembohong juga. Parti yang mendakwa mendapat ahli PAS itu pun bohong


2.Menutup isu sebenar iaitu yang masuk UMNO kerana mendakwa PAS dan kerajaan negeri tidak membantu rumahnya terkena ribut walhal bantuan dah diberi, tetapi yang dihebahkan ialah keluar parti kerana isu komunis. Sebenarnya publisiti ini hanya untuk menyelamatkan karier politik seseorang. Untuk membuktikan "kejayaan" beliau mempengaruhi rakyat. Bila bawa isu komunis dalam masyarakat yang bergelumang dengan isu siapa pejuang sebenar kemerdekaan maka gagalah dijawab. Berapa orang keluar sebab komunis..? Hanya sekadar di padang Terap ahli PAS masuk Umno sebab isu komunis? Yang mengkagumi dan dikagumi komunis adalah Umno yang memeterai perjanjian dengan Parti Komunis.Bahkan UMNO semakin mengelirukan masyarakat apabila seoarang Profesor yang mesra UMNO sendiri mengakui bahawa negara ini tak pernah terjajah. Itu, kita serah kepada ahli sejarah dan akademik.

3. UMNO akan gunakan nama yang sama untuk mengumumkan ahli PAS yang keluar UMNO. Selepas ini akan ada tempat lain yang akan umumkan. Modus operandi ini sudah lama PAS tidak gunakan di Padang Terap. Kalau UMNO nak mulakan, ayuh... Selepas Pakatan Rakyat perintah Kedah, kita berkhidmat tanpa kira parti. Nampaknya UMNO sudah mula timbulkan kegelisahan di celah keharmonian masyarakat di Tandop Besar.Mereka bermain politik murahan dan picisan di situ demi meraih publisiti besar.Mereka fikir orang kampung boleh diperbodohkan.

4. Mereka gagal buktikan kerana mereka risau terhadap kebangkitan ahli UMNO lain yang dipinggirkan bantuan walaupun mereka sudah lama berjuang. Saya mengucapkan tahniah kepada keluarga 'PAS' yang mendapat durian runtuh dalam bentuk bumbung baru. Saya percaya banyak ahli UMNO sendiri tak dapat.. Boleh sahaja kita senaraikan nama ahli UMNO yang sedang menunggu bantuan di kampung Tandop Besar. Yang betul-betul susah. Bahkan seluruh Padang Terap yang merempat. Ingatlah betapa beruntungnya anda semua menjadi ahli PAS.

5. UMNO terkejut, rakyat Padang Terap terkejut, rakyat Malaysia bahkan ahli UMNO sendiri terkejut dengan pendedahan yang dikeluarkan berkenaan salahguna secara tidak beretika pemimpin UMNO Padang Terap terhadap duit syarikat Seri Temin Development sdn bhd. Yang diambil untuk tujuan aktiviti parti UMNO. Duit tu hakmilik rakyat negeri Kedah yang dikurniakan Allah. Buat apa ambil. Salah seorang rakyat yang membaca maklumuat yang tersebar ini mengatakan "Aku tida redha walau setitik air atau sebutir nasi yang dimakan oleh perwakilan UMNO dengan menggunakan duit rakyat iaitu aku". Sebelum ini mereka anggap UMNO adalah parti yang kaya. Maka silap, yang kaya ialah pemimpin UMNO.Kita boleh dedahkan betapa 'kayanya' mereka ini.

6. Mereka gagal buktikan kerana mereka risau bahawa ada lagi pendedahan penyelewengan yang akan dibuat.. Silakan umum lagi dan ada lagi penyelewengan yang saya akan bongkarkan.

Saya tahu masyarakat celik IT sedang memerhatikan dengan dekat cabaran saya. Ada juga kalangan pemimpin UMNO yang bertepuk dan bersorak dengan pendedahan saya. Adakah hanya dengan sekadar cabaran cek kosong? Nantikan adegan seterusnya.

YB Ustaz Mohd Nasir Zakaria
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Terap

Pekung SPR makin terbuka

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Kepincangan besar di dalam senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan ianya diaudit badan bebas bertaraf antarabangsa sebelum pilihan raya dapat diadakan, demikian pertegasan PAS Kedah.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi, PAS Kedah telah membuat analisa dalam senarai daftar induk yang telah disahkan SPR dan mereka itu layak mengundi mendapati wujud senarai besar pengundi diragui.

Beliau menyatakan demikian kepada pihak media dalam satu pendedahan khas Jabatan Pilihan Raya PAS Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 10 September lalu.

Perkara itu jelasnya adalah sepertimana berlaku negeri-negeri lain yang telah didedahkan sebelum ini.

“Kita di Kedah sudah buat analisa dan menemui banyak keraguan dan ini kita dedahkan sebahagiannya. Kita akan minta SPR memberi penjelasan terhadap penemuan (kepincangan) ini.

“Jadi jelas daftar pemilih SPR tidak bersih dan perlu diaudit badan bebas kerana terdapat nama sama, alamat sama, tempat mengundi sama, tetapi kad pengenalan yang disemak tiada dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” terang Phahrolrazi.


Beliau juga mendedahkan terdapat pengundi tentera yang telah bersara dan menjadi pengundi awam, tetapi nama sebagai pengundi tentera masih kekal.

Terangnya, apabila nama sebagai pengundi tentera tidak dibatal, bermakna boleh berlaku salahguna yang memungkinkan undi dua kali berlaku.

Namun katanya, terdapat di kalangan tentera yang membuat pengakuan tidak pernah mengundi tapi apabila disemak mendapati namanya direkodkan sebagai keluar mengundi.

Oleh itu beliau yakin, nama tersebut telah disalahgunakan di mana pengundian dilakukan pihak lain.

Tegasnya, kes melibatkan anggota tentera telah bersara seumpama itu antara yang akan lebih banyak ditemui selepas ini dalam senarai daftar pemilih SPR.

Pada sesi khas itu, Phahrolrazi mendedahkan sebahagian kepincangan tersebut antara contohnya dua pengundi yang mempunyai nama penuh sama, nombor kad pengenalan lama sama dan alamat sama, tetapi sedikit perbezaan angka pada kad pengenalan baru.

Terdapat juga pengundi dengan data seumpama dan mengundi di dalam Dun yang sama tetapi hanya dibezakan tempat mengundi.

Antara dipersoalkan juga senarai pengundi yang tiada alamat dalam daftar pemilih SPR sedangkan ketiadaan alamat akan menyebabkan nama seseorang tidak dapat disahkan.

Paling mengejutkan dalam daftar pemilih SPR itu, kebanyakan pertindanan dua nama pengundi yang disyaki individu sama mendapati salah satu nama tidak wujud dalam rekod semakan JPN.

“Boleh percayakah, dua orang lain, nama sama, alamat sama, kad pengenalan baru hanya berbeza empat angka dihujung?

“Jadi kita mahu daftar pemilih ini dibersihkan sebelum pilihan raya diadakan dan kita juga minta badan bebas dilantik untuk mengadakan audit pada daftar ini. Sepertimana diminta PAS Pusat, kita juga bersetuju dilantik juruaudit bebas bertaraf antarabangsa supaya wujud integriti dalam daftar pemilih SPR.

“Perkara ini juga perlu dibincang dalam Jawatankuasa Khas Parlimen yang akan ditubuhkan. Selama ini Pengerusi SPR suka cabar, jadi kita membuktikannya dengan data-data pendedahan ini,” tegas beliau diakhir sesi itu.

Media turut diberitahu, wujud peningkatan pertambahan luar biasa pengundi baru. Kebiasaannya purata dahulu sekitar lima peratus tetapi sejak 2008 telah melebihi 10 peratus.

Bagaimanapun perkara itu jelas Dato’ Phahrolrazi, masih memerlukan analisa sama ada wujud pertambahan pengundi baru yang diragui atau sebaliknya.


Tuesday, September 13, 2011

30,000 meriahkan Aidilfitri PAS Kedah

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Lebih 30,000 tetamu pelbagai kaum hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri PAS Negeri Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 10 September lalu.

Kemeriahan majlis dan sambutan ramai itu hinggakan ada tetamu yang melahirkan rasa terharu dan teruja mereka lantaran merasakan berbezanya penerimaan kepada PAS ketika ini.

Jika 10 tahun dahulu sambutan seumpama hanya dihadiri sekitar 5,000 tetamu dan diadakan cuma di markaz atau sekolah milik PAS Kedah, kini perkarangan luas Kompleks PAS Kedah boleh menjadi sesak dengan kunjungan yang tidak putus-putus.

Majlis yang terpaksa dimulakan seawal jam 11 pagi disebabkan kehadiran ramai itu juga berlarutan hingga jam 5 petang, itupun kunjungan beransur surut setelah hujan lebat turun.

Bahkan sudah tidak ada lagi bungkusan untuk dibawa pulang sepertimana selalu kerana semua yang terhidang habis dijamah pengunjung.



Malah, beberapa kiosk seperti sate, ais kacang dan ais krim terpaksa membuat tempahan tambahan ketika majlis berlangsung, manakala penyedia mee goreng bingkas menggoreng berulang kali dan bihun sup pula direneh seperiuk besar lagi.

Kunjungan ramai juga memaksa pimpinan PAS Kedah turut serta membantu di kiosk antaranya Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar yang bergelandangan menyediakan ‘Mee Goreng Bersih 3.0’. Begitu juga Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad yang menunjukkan bakat menyediakan teh tarik ala Pakistan.

Celoteh dua juruacara menyegarkan lagi suasana disamping kehadiran dua badut yang melayan kanak-kanak dengan belon kreatif mereka.

Pada majlis itu juga, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyampaikan duit raya untuk kanak-kanak yang hadir.