Oleh Penulis Khas : Izwan Abdul Halim
Ledakan kebangkitan rakyat pelbagai kaum menyokong Himpunan Aman BERSIH 2.0 meresap terasa di segenap ceruk. Di mana juga tempat berkumpul terutamanya warung-warung, BERSIH 2.0 menjadi topik perbicaraan utama. Orang Melayu, India mahupun Tionghua duduk berforum. Fenomena yang berlaku jauh lebih membuak berbanding seruan-seruan himpunan sebelum ini.
Selain peranan media baru, media perdana sama ada elektronik mahupun cetak sebenarnya penyebab aktif ledakan. Kempen media perdana yang lebih bertemakan ugut, tohmahan dan pelbagai momokan negatif mendapat reaksi sebaliknya. Malah, kegiatan polis melalui siri-siri tangkapan dengan alasan baju kuning dan motif komunis, membenihkan pemuka baru kepada aktivis masyarakat daripada kalangan mereka yang selama ini menghindarkan diri dari politik.
Justeru, segala lumuran untuk mengotori BERSIH 2.0 tidak mengurangkan reputasinya, tetapi meningkatkan popularitinya sekaligus meniupkan semangat baru kepada kebangkitan rakyat.
Meludah ke langit?
Keganasan, huru hara, persengkolan pengaruh luar, kerugian dan pelbagai cerminan ekstrimis yang sebenarnya dibayangi Umno-BN kepada BERSIH 2.0 tidak lebih seperti “meludah ke langit”. Segala tohmahan itu tidak berlaku, sebaliknya rakyat memberi persepsi bahawa kumpulan-kumpulan yang menimbulkan semua masalah tersebut adalah talibarut Umno-BN.
Gertakan dan ugutan berbaur ancaman nyawa oleh kumpulan berkenaan tidak berhadapan sebarang tindakan pihak berkuasa. Malah, perarakan jalanan yang berlaku di Pulau Pinang menunjukkan betapa bebasnya kumpulan ini dari penguatkuasaan. Kerana itu, perkara tersebut disandarkan rakyat kepada Umno-BN dan pihak keselamatan harus sedar bahawa mereka juga terpalit sama.
Pertikaian rakyat adalah dengan kewajaran dan logik, setelah melihat langkah perundangan juga diambil secara tempang. Misalnya tangkapan polis atas dakwaan hasutan. Tetapi permintaan polis melanjutkan reman ke tertuduh ditolak mahkamah. Kemudian baju BERSIH pula menjadi ‘mangsa’ sedangkan pengharaman baju itu hanya lantunan ketidakcerdikan Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein semata-mata.
Bahkan penilaian rakyat lebih kuat apabila berlaku sabotaj simbahan cat melibatkan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat pada malam sama.
Akhirnya BERSIH 2.0 pada tanggal 9 Julai itu menyaksikan ledakan sebenar amaran rakyat dengan mengejutkan sesiapa jua yang menyaksikan pelbagai sekatan dan halang. Dengan penuh keberanian ratusan ribu rakyat memecah sunyi sepi ibu kota Kuala Lumpur pada hari tersebut.
Jenayah penguatkuasa?
Sejuta penafian sekalipun tidak akan mampu menutup segala tragedi ke atas rakyat sendiri pada BERSIH 2.0. Pihak polis telah digunakan semahunya demi menjaga survival pemerintah yang semakin menikus. Majoriti peserta walaupun tanpa bersenjatakan hatta Baju Kuning BERSIH juga dikasari secara gaya bebas polis dengan semburan meriam air dan gas pemedih mata. Tidak cukup dengan provokasi dan perundingan yang dikhianati, ada mangsa tangkapan diperlakukan serakusnya seperti penjenayah besar. Malah, seperti tiada hak untuk mendapatkan rawatan di saat-saat kecemasan.
Ketika Islam menggariskan golongan dan premis yang dilindungi di masa peperangan serta panduan seumpama yang turut dipersetujui Undang-undang Antarabangsa, pihak polis selaku penguatkuasa pula melanggarnya. Bukan sahaja hospital turut dibedil, malah masjid juga tatkala orang awam sedang menunaikan solat Zohor. Inilah sepertimana yang diadukan oleh para jamaah Masjid Jamek pada hari tersebut.
Bodohkah Najib?
Antara ‘forum’ menarik di warung-warung adalah melahirkan kehairanan terhadap daya berfikir dan memahami Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, para menteri serta cerdik pandainya akan kebangkitan dan denyut nadi rakyat. Dengan segala jentera kerajaan diperkudakan BN serta penasihat yang dianggap unggul iaitu APCO, apakah Najib begitu bodoh untuk menanggapinya? Itulah yang diperdebatkan rakyat, ‘bingung’ menghitung segala kekuatan dimiliki Najib.
Akhirnya perbincangan membawa kepada sesuatu hakikat, bahawa segala kedunguan dan kebebalan kekuasaan sebesar mana pun tidak akan dapat mengatasi perancangan Allah.
Ya, Allah sedang mengaturnya, bahawa seluruh kekuatan yang ditunggangi Najib dan kabinetnya telah menjadi kealpaan kepada mereka. Penglihatan mata dan hati mereka telah dikaburkan Allah.
Hari ini penyokong dan pendokong BERSIH 2.0 masih terus segar terasa roh kebangkitan 9 Julai itu. Sedang seluruh entiti BN masih terasa lesu bagaikan merekalah yang turun berhimpun pada hari tersebut. Hakikatnya juga mereka sedang dirundung kekecewaan yang menyakitkan dan Najib pula mulai menghitung saat-saat kejatuhannya.
No comments:
Post a Comment