SUNGAI LALANG: Lawatan kerja Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Kedah pada Khamis lalu hakikatnya adalah program politik kepartian, demikian ditegaskan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi.
Menurut beliau, Najib sebenarnya datang atas tujuan politik tetapi menggunakan kemudahan kerajaan dengan membabitkan penglibatan agensi-agensi Persekutuan dan para pegawai.
“Kalau buat lawatan rasmi ke negeri Kedah atas nama Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Kedah yang kena sambut bukannya Umno. Yang sambut (sepatutnya) Menteri Besar, Ahli-ahli Exco dan Pegawai Kanan Kerajaan kerana ini lawatan Perdana Menteri ke negeri Kedah.
“Tetapi (sebenarnya) bukan lawatan Perdana Menteri, (ianya) lawatan Presiden Umno ke negeri Kedah. Semua guna kemudahan kerajaan. Sampai Masjid Mergong isytihar kerajaan peruntukan lebih RM 1 juta untuk baik pulih Masjid Mergong. Duit siapa (ini)? Duit kerajaan. Duit kerajaan, duit siapa? (Ini) duit rakyat.
“Sampai sana sini isytihar jutaan ringgit sedangkan lawatan atas tujuan politik. Kerana falsafah dalam BN mereka menganggap segala pemberian kepada rakyat sebagai budi yang menuntut balasan. Kerana itu selalu disebut, saya tolong kamu, kamu tolong saya.
“Jadi PM bercakap sebagai Presiden Umno, dia beri sumbangan kepada rakyat, dia anggap dari parti politik dia, dia tidak anggap sebagai dana kerajaan. Jadi apabila dia beri sumbangan, membina sesuatu projek, dia anggap dia tanam budi, dia mahu rakyat balas budi kepada parti politik apabila pilihan raya,” tempelaknya.
Ujar Phahrolrazi, ketika parti pemerintah mengadakan program atas nama politik, kakitangan awam turut dikerah hinggakan antara parti politik dengan kerajaan sudah tidak dibezakan.
Katanya, terdapat juga agensi-agensi kerajaan khusus untuk politik di mana dana kerajaan dari sumber awam digunakan sepertimana Kemas dan Jabatan Penerangan.
Terang beliau, apabila kerajaan memberi peruntukan jalan raya, elektrik, bekalan air dan sebagainya, ia telah dianggap tafsir sebagai pemberian daripada Umno
Bagaimanapun katanya, berbeza di bandar-bandar, semua kemudahan itu sebenarnya tidak percuma apabila semua bayaran tersebut dikenakan bersama harga rumah yang dibeli.
“Umno tidak bawa keluar duit untuk projek-projek itu, dia ambil lagi ada,” tempelak Phahrolrazi.
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
No comments:
Post a Comment