Monday, July 18, 2011

Isu Operasi Pusat Hiburan-MCA Hanya Jaga Kepentingan Politiknya




Oleh Izwan Abdul Halim

ALOR SETAR: Parti politik tidak sepatutnya menjadi jurucakap tauke-tauke, tetapi harus juga bertanggung jawab kepada keseluruhan rakyat berbilang kaum dan agama, demikian ditegaskan Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Ujarnya, MCA paling lantang menentang di media dan menghasut masyarakat bukan Islam dengan dakwaan bahawa Kerajaan Negeri Kedah sedang menghalang hak asasi bukan Islam.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan bantahan MCA terhadap peraturan hiburan di bulan Ramadan oleh kerajaan negeri adalah berteraskan kepentingan politik parti tersebut dan juga BN.

Menurut beliau, kes ini hampir sama dengan reaksi ketika tindakan merobohkan pusat sembelihan khinzir tanpa lesen di Kampung Berjaya sedikit masa lalu.

“Saya percaya hasutan ini akan terus berkembang dengan tuduhan lebih berat kepada kerajaan negeri dan akan mendapat sokongan semua parti dalam BN.

“Alasan lain ialah mereka perlu membayar sewa bangunan dan bil-bil (kerajaan) pusat itu, dan larangan ini bagaikan menutup periuk nasi pengusaha terbabit di bulan Ramadan,” ujarnya.

Jelas Sanusi, hakikat yang harus diterima ialah majoriti pengunjung pusat hiburan adalah orang Melayu Islam.

Katanya, kalau MCA mendakwa kerajaan harus menghormati hak mereka, maka mereka juga sewajarnya menghormati hak umat Islam terutamanya kesucian bulan Ramadan yang sangat istimewa bagi umat Islam.

“Bulan ini adalah waktu umat Islam memfokus kepada kegiatan ibadah dan menjauhi perkara yang merosakkan ibadah. Kerajaan bertanggung jawab membentuk persekitaran yang sesuai dengan suasana itu.

“Jika mereka meminta kita menghormati hak mereka, hak dan perasaan umat Islam serta tanggung jawab kerajaan kepada mereka pula bagaimana?” soal beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah.

Negeri ini menurutnya, didiami oleh 2.1 juta penduduk di mana 1.8 juta adalah orang Islam. Jelas beliau, jika kerajaan diminta menjaga kepentingan 300,000 orang, kepentingan 1.8 juta juga perlu diambil kira.

No comments:

Post a Comment