KUALA NERANG: Tanggung jawab selepas menerima anugerah kemenangan adalah dengan meningkatkan gerakerja sebelumnya, demikian tutur Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah, Senator Muhamad Yusuf Husin.
Menurutnya, selama ini muslimat telah membuktikan komitmen mereka di dalam urusan pilihan raya sekaligus telah menjana kemenangan hari ini.
“Insya-Allah, jika kita bekerja keras, kita akan dapat menawan Padang Terap keseluruhannya dan Kedah masih kita perintah,” ujarnya menyuntik semangat hadirin pada Ijtima’ Muslimat PAS Kawasan Padang Terap di Kompleks PAS Kawasan Padang Terap, Kampung Barohkas, di sini baru-baru ini.
Tegasnya, kemenangan dikecapi ketika ini akan dapat dipertahankan dengan meningkatkan gerakerja yang sedang dilakukan antaranya banci keluarga dan daftar pemilih berterusan selain perhatian terhadap pengundi luar kawasan.
Disebalik majlis penuh tekad itu, para tetamu dan hadirin turut bersantai menikmati pelbagai hidangan buah-buahan tempatan. Paling istimewa adalah pulut panas yang dimakan dengan durian dan santan.
Pada pilihan raya umum lalu, kerusi Parlimen Padang Terap telah dimenangi PAS sedang kedua-dua Dun di dalamnya iaitu Kuala Nerang dan Pedu masih ditangan Umno.
Hadir sama pada majlis itu ialah Yang DiPertua PAS Kawasan, Ustaz Zawawi Ahmad dan Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Mohd Nasir Zakaria.
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
No comments:
Post a Comment