SUNGAI PETANI: Pewujudan Pusat Pengumpulan Produk Pertanian Lembah Jerai (4PLJ) melalui anak syarikat Kerajaan Negeri Kedah iaitu Kedah Agro Holdings Berhad merupakan sebahagian dari hasrat menjadikan negeri ini sebagai ‘Belanda Timur’.
Melaluinya, hasil pertanian dari petani dan pekebun kecil akan dapat dikumpulkan di mana pihak kerajaan pula mengambil inisiatif dan tanggung jawab untuk terus memasarkan atau menjadikannya produk hiliran.
Usaha ini dapat memberikan pendapatan tambahan kepada petani dan pekebun kecil sekaligus mengatasi lambakan hasil pertanian yang menyebabkan harganya mudah jatuh.
Exco Pertanian Negeri, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, beliau optimis dengan kewujudan pusat tersebut mampu menjadi hub pengumpulan memandangkan kedudukannya di tengah negeri ini.
Pusat tersebut telah dibuka sejak 15 Julai baru-baru ini telah mengadakan jualan pelbagai hasil pertanian seperti buah-buahan dan sayuran tempatan.
Terletak antara Hospital Sultan Abdul Halim dan Kompleks Kastam Di Raja Malaysia, Sungai Petani itu, kawasan luas di sini turut mempunyai kemudahan tempat letak kereta yang banyak selain tandas awam dan surau.
Menurut Amiruddin, pada ketika ini juga percubaan mengetinkan rambutan sedang dilakukan dengan kapasiti 5,000 tin sehari menggunakan kira-kira tiga tan rambutan dan akan dipertingkatkan kepada 10,000 tin sehari setelah percubaan itu berjalan lancar.
“Kita juga berurusan dengan syarikat-syarikat yang memerlukan buah-buahan tempatan ini. Ketika ini terdapat sebuah syarikat yang perlukan buah rambutan, durian, mempelam sala dan naka untuk penghasilan produk roti.
“Sekiranya persetujuan dicapai, saya percaya industri menghasilkan puri buah-buahan dapat diwujudkan di kampung-kampung. Ini membantu mengurangkan lambakan buah sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk,” ujarnya yang turut memaklum bahawa musim rambutan lebih awal di utara dan sesuai dipasarkan ke negeri-negeri selatan ketika ini.
Orang ramai dijemput berkunjung bagi mendapatkan pelbagai produk pertanian yang dijual secara borong dan runcit, sementara para peniaga turut dialu-alukan menyertai jualan di situ.
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
No comments:
Post a Comment