ALOR SETAR: Dasar dan kepimpinan merupakan ketahanan dan kekuatan PAS hingga mampu menginjak usia 60 tahun, demikian tegas Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.
Ujar beliau, pemimpin di dalam PAS berjuang bukan untuk mendabik dada dengan jawatan kepemimpinan. Tetapi, untuk melaksanakan amanah yang besar di zaman ini iaitu memastikan agama Allah diangkat tinggi dan terus dipertahankan dalam jamaah PAS.
Untuk itu katanya, tidak ada beza pemimpin di atas mahupun di bawah kerana masing-masing dipilih Allah untuk memikul tanggung jawab besar sebagai pemimpin dari kalangan ramai manusia.
“PAS memiliki kepimpinan baik di peringkat tertinggi, pertengahan mahupun bawah. Yang masing-masing telah memikul tanggung jawab sejak tahun 1951.
“Kita pula memikul bawa amanah ini untuk masa hadapan, bagi kelangsungan 60 tahun yang berikutnya,” seru beliau menyuntik semangat para pemuda pada Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan kepada Pemuda PAS Negeri dan Kawasan-kawasan seluruh Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini 12 Julai lalu.
Untuk itu, para pemimpin pemuda katanya, perlu melengkapkan diri dengan sifat kepimpinan yang sepatutnya.
Sifat amanah, keilmuan, tanggung jawab, kesungguhan serta istiqamah ujar Ustaz Ahmad, adalah perkara yang perlu dititik berat sebagai tanggung jawab seorang pemimpin.
Menurutnya lagi, perkembangan ilmu dan maklumat yang pantas serta cabaran semasa memerlukan pemimpin pemuda berilmu, berkemahiran, memiliki kepelbagaian dan kebolehan dalam diri masing-masing.
Maka Lajnah Tarbiyah ujarnya, diberi peranan untuk diri pemuda diasuh dan ditarbiyyah supaya layak menjadi pemimpin dalam sebuah gerakan Islam dan untuk memastikan agar layak diberi amanah kemenangan oleh Allah SWT.
“Sesibuk mana kita dengan urusan pilihan raya, sekalut mana kita dengan urusan organisasi, sehebat mana kita dalam urusan politik dan serencam mana kita dengan alam maya maklumat tanpa batasan, kita tidak boleh meninggalkan tarbiyah.
“Ia mesti menjadi agenda besar, tarbiyah mesti diberi penekanan bukan sekadar usrah, tamrin, lebih dari itu tiap-tiap kita saya letakkan amanah mesti ada wirid harian,” serunya.
Jelas beliau, wirid tersebut terpulang kepada individu masing-masing sama ada mathurat, zikir selepas solat, bacaan ayat lazim atau sebarang amalan.
Kerana ujarnya, disamping program tarbiyyah disertai, pemuda perlu ada tarbiyah sendiri terhadap diri.
Beliau juga menyeru Pemuda PAS Kawasan-kawasan memainkan peranan untuk memperkasakan sukarelawan dan meratakan kebajikan.
Dengan itu katanya, pembentukan Unit Amal di Kawasan-kawasan diberi perhatian kerana ia telah menjadi produk kebajikan terbaik yang diakui kawan dan lawan.
“Kita harus menjadi juara kebajikan melalui sukarelawan ini yang akan menjadi fokus kita disepanjang tahun ini,” ujarnya diakhir ucapan tersebut.
Pada majlis itu juga, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah meraikan wira-wira yang ditahan polis sebelum dan semasa Bersih 2.0.
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
No comments:
Post a Comment