Thursday, July 28, 2011

Isteri pendorong suami laksana amanah perjuangan




MERBOK: Sokongan muslimat, baik dari seorang ibu mahupun isteri mampu membangkitkan dorongan besar kepada anak atau suami dalam melaksanakan amanah perjuangan, demikian ulas Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya.

Katanya, itu kerana keutamaan di dalam perjuangan bagi seorang lelaki adalah kepada jamaah yang memerlukan seorang ibu mahupun isteri memberi sokongan melalui bantuan terhadap urusan berkaitan.

“Sokong muslimat dari seorang ibu sangat besar, demikian saya mengira cukup besar sokongan dari wanita yang bernama isteri,” ujarnya menyuntik motivasi pada Ijtima’ Tarbawi Isteri-isteri Aktivis PAS Kawasan Merbok di Pusat Tarbiyah Islamiyah Merbok, Pengkalan Kakap, di sini baru-baru ini.

Dalam taujihatnya itu, beliau menyingkap kisah rumah tangga Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Pertama, Imam Hassan al-Banna.

Menurut Ustaz Ahmad, Imam Hassan pada malam pertama perkahwinannya telah menjelaskan kepada isteri beliau bahawa isterinya itu telah dimadukan dengan perjuangan Islam.

Hal itu jelasnya, bermakna Imam Hassan telah menegaskan kepada si isteri bahawa beliau perlu mengadakan giliran antara perjuangan dengan isterinya itu.

Imam Hassan juga ceritanya, pernah diuji dengan anak yang sedang sakit walhal beliau ketika itu perlu keluar melaksanakan urusan jamaah.

Apabila ditunjukkan keadaan anaknya itu oleh isteri beliau, maka Imam Hassan penuh yakin menjawab bahawa sekiranya anak itu meninggal, datuknya tahu di mana kuburan untuk pengkebumiannya.

“Jawapan ini memberi satu gambaran ketegasan Imam Hassan al-Banna dalam melaksanakan tugas perjuangan,” terang Ustaz Ahmad penuh yakin dan menyeru para isteri mengenali suami mereka juga sebagaimana demikian.

Para isteri aktivis juga katanya, perlu meninggikan rasa syukur kerana dipilih Allah menjadi isteri kepada suami yang bernaung di dalam perjuangan Islam.

Serunya lagi, dalam mendepani realiti kesibukan dan sering ditinggalkan suami, para isteri perlu merasakan perkara itu sebagai izzah dan kemuliaan.

“Bukan kebanggaan itu untuk kita mendabik dada, tetapi bersyukur pada Allah,” ujarnya mengajak muslimat mengadakan sujud syukur untuk pilihan tersebut.

Beliau turut mengajak para isteri merenung dan memohon dijauhi dari bersuamikan mereka yang melakukan perbuatan tidak elok, sering masuk keluar penjara atau berkelakuan tidak sewajarnya.

Sebagai menyedari kedudukan suami selaku pemimpin, isteri kata Ustaz Ahmad, perlu memahami bahawa tanggung jawab suami bukan hanya pada dirinya dan anak-anak dalam keluarga sahaja.

“Dalam bahasa lain, suami bukan milik kita seorang berkongsi. Perkara itu merupakan cabaran yang isteri kena ditempuh,” ujarnya mendakap realiti.

Ustaz Ahmad turut mengimbas nostalgia kisah perjuangan Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor di mana sepanjang 13 tahun sebagai pemimpin PAS, keluarganya jarang dapat bersama beliau.

Katanya, cuma 13 hari terakhir sahaja Almarhum dapat ‘bersama’ keluarganya itupun dalam keadaan Almarhum di atas perbaringan.

Beliau turut menasihatkan muslimat agar memiliki keterbukaan dan menampung kekurangan perhatian dari suami terhadap keluarga sebaiknya agar matlamat besar perjuangan iaitu sekeluarga berjaya ke syurga akan tercapai.

Beliau juga melontarkan harapan agar para isteri menjadi penggerak kepada ibadah berjamaah suami kerana hubungan dan penyerahan diri kepada Allah akan memberi kekuatan dan kejayaan yang sebenar.


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


No comments:

Post a Comment