Tuesday, July 19, 2011

Isu Operasi Pusat Hiburan- Dewan Himpunan Penyokong PAS Kedah Bidas Mainan Media


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Keputusan tidak membenarkan orang Islam memasuki pusat-pusat hiburan pada bulan Ramadan adalah wajar, demikian persetujuan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kedah, Tan Weng Fatt.

Oleh itu sokongnya, peraturan sedia ada sebelum ini melibatkan bulan Ramadan dan hari Jumaat boleh diteruskan dengan memastikan orang Islam tidak memasuki premis-premis tersebut.

Bahkan aktiviti hiburan berkenaan ujar beliau, wajar memberhentikan seketika aktiviti mereka ketika mengetahui waktu sembahyang sebagai menghormatinya.

Menurut Tan, masyarakat bukan Islam juga sebenarnya menghormati amalan agama orang Islam dan perkara tersebut boleh diselesaikan demi kebaikan semua.

“Banyak orang Cina mereka berniaga, tekanan pun banyak. Jadi, untuk kurangkan tekanan, biasanya mereka akan berhibur (di tempat-tempat berkenaan). Ini macam sudah jadi satu budaya,” terangnya.

Bagi masyarakat Cina jelasnya lagi, perkara berkaitan budaya dan agama, pendidikan serta perniagaan adalah sangat sensitif.

Maklumnya, pihak DHPP Kedah telah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah, Dr Ismail Salleh yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kedah untuk diajukan pandangan kepada Menteri Besar.

Beliau dalam pertemuannya dengan Harakah turut menolak tanggapan media bahawa Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak telah mempertikaikan DHPP Kedah.

Sebaliknya, Tan memahami akan jawapan Ustaz Azizan yang menegaskan bahawa beliau tidak memberi arahan kepada DHPP Kedah untuk membuat kenyataan bermaksud Menteri Besar itu tidak mengongkong DHPP Kedah dalam menyatakan pandangan.

Bahkan media ujarnya, tidak menyiarkan pertegasan penuh beliau pada sidang media yang dibuat DHPP Kedah.

Beliau juga turut menyangkal dakwaan media tertentu bahawa sidang media DHPP Kedah itu atas arahan MB.

Tan yakin, perkara itu sebahagian mainan media untuk menimbulkan rasa tidak puas hati kedua belah pihak.

Katanya, kuasa media digunakan untuk membangkitkan perkara ini dengan laporan tidak seimbang dan beliau menyedari akan hal tersebut.

Sebagai entiti PAS, DHPP Kedah katanya, mengadakan sidang media sendiri sebagai menggerakkan peranannya memberi penjelasan mengenai perkara itu kepada masyarakat bukan Islam.

Menyentuh kesan hiburan keterlaluan di kalangan muda mudi, beliau menggesa pihak polis menggandakan operasi.

“Ini hiburan baiknya adalah untuk kita berehat dan membuang tekanan. Tetapi orang muda mereka pergi dengan orang jahat mereka berhibur dengan pil. Jadi hal ini, polis dan jabatan yang berkenaan perlu selalu operasi.

“Hiburan baik, tapi orang yang tidak baik pergi ke sana menjaja pil mereka kononnya untuk lebih seronok berhibur, tetapi merosakkan orang muda. Jadi kekerapan operasi polis dapat membantu mengurangkan termasuk juga jenayah-jenayah lain,” ujar beliau mengakhiri temubual.

No comments:

Post a Comment