Friday, July 22, 2011

Kedah Tambah Dana Untuk Usahawan

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah terus menyuntik galakan kepada usahawan di negeri ini yang gigih meneroka ke arah kejayaan lebih besar.

Untuk itu, pinjaman sebanyak RM565,000 telah disampaikan kepada 28 usahawan terpilih menerusi skim bantuan Dana Teroka Usahawan pada majlis penyerahan bantuan tersebut di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), di sini pada 19 Julai baru-baru ini.

Menurut Exco Usahawan Kerajaan Negeri Kedah, Ustaz Abd Ghani Ahmad, jumlah tersebut adalah daripada RM 3 juta yang disediakan PKNK bagi tahun ini.

Ujarnya, pada tahun lalu PKNK memperuntukkan sebanyak RM 2 juta, manakala RM 1.7 juta pada tahun sebelumnya.

Peningkatan itu ujarnya menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menggalakkan kejayaan usahawan sekaligus membantu merancakkan perkembangan ekonomi negeri.

Jelas Ustaz Abd Ghani, setiap usahawan menerima pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 di mana ia hanya diberikan kepada usahawan atau bakal usahawan yang gagal mendapat pinjaman atau tidak cukup syarat untuk memperolehi pinjaman dari mana-mana institusi kewangan.

Dalam ucapannya, beliau turut menasihati para usahawan agar mendisiplinkan diri dengan menggunakan pinjaman itu hanya untuk tujuan perniagaan.

Katanya, pinjaman yang diberikan untuk tujuan memajukan perniagaan itu tidak harus digunakan untuk perkara seperti melangsaikan hutang, membeli kenderaan atau seumpamanya.

“Ini disebabkan tujuan yang lain itu akan menghancurkan minat untuk maju dalam perniagaan kerana pinjaman untuk dijadikan modal perniagaan sudah hilang dan tidak lagi dapat membantu meningkat perniagaan kerana tiada lagi wang,” ujarnya.

Beliau juga menyeru para usahawan agar mengeluarkan zakat perniagaan di mana dengannya akan mendatangkan barakah dalam perniagaan.

Kerana jelasnya, di atas harta kepunyaan itu adanya hak saudara se-Islam yang miskin dan daif.

“Jika mereka dibantu dengan hak yang wajib diperolehi atas harta kita, maka mereka juga boleh membangunkan diri mereka dalam kehidupan seterusnya berupaya untuk mengeluarkan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.

“Inilah hikmah zakat dalam membangunkan ekonomi ummah,” terangnya pada majlis yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PKNK, Dato’ Abdul Rahman Ibrahim itu.

No comments:

Post a Comment