Monday, July 18, 2011

Isu Operasi Pusat Hiburan-Dewan Ulamak PAS Kedah Sokong Keputusan Kerajaan


                                                            Ustaz Muhd Zainal Asri Romli

ALOR SETAR: Penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 oleh Kerajaan Negeri Kedah adalah bersesuaian untuk kebebasan kepada semua, demikian ditegaskan Setiausaha Dewan Ulama PAS Kedah, Ustaz Muhd Zainal Asri Romli.

Jelasnya, apabila kerajaan melarang kunjungan orang Islam ke pusat hiburan di bulan Ramadan, maka ianya merupakan kebebasan beragama kepada umat Islam itu sendiri untuk melaksanakan hak agama mereka pada bulan tersebut.

Sedangkan orang bukan Islam pula ujarnya, kebebasan mereka untuk berhibur tidak tertakluk kepada peraturan itu.

Katanya, kerajaan negeri hanya menguatkuasakan enakmen yang telah sedia ada di mana selama ini tidak dipatuhi malah sering berlaku pelanggaran melebihi dari itu.

“Enakmen ini sebagai kaedah mendisiplinkan rakyat. Rakyat mesti ikut undang-undang yang dibuat untuk kebaikan semua ini. Kerajaan hanya menguatkuasakan peraturan yang baik untuk semua.

“Peraturan ini dapat membantu mengekang gejala sosial di dalam negeri ini. Kerana kita melihat, pusat-pusat hiburan ini banyak dikunjungi oleh orang Islam dan ia boleh merosakkan orang Islam. Maka tindakan untuk menghalang (saddu zara’iek) orang Islam memasuki adalah tindakan yang tepat,” ujarnya.

Dengan itu tegas beliau, Dewan Ulama PAS Kedah menyokong penuh keputusan Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dalam perkara tersebut.

No comments:

Post a Comment